Nanta harap pengganti Speaker Dewan Negara diteruskan wakil Sarawak

Alexander Nanta Linggi. Foto Bernama
Alexander Nanta Linggi. Foto Bernama
A
A
A

KAPIT - Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berharap kerajaan mempertimbangkan calon dari negeri Sarawak untuk mengisi jawatan Speaker Dewan Negara bagi tempoh satu penggal ini.

"Kalau kita ingat Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini menjadi Speaker (Dewan Negara) dan selepas setahun beliau terpaksa melepaskan jawatan itu untuk menjadi TYT (Yang Dipertua Negeri Sarawak).

"Selain itu, jawatan berkenaan pula digantikan oleh mendiang Datuk Mutang Tagal tetapi kita kehilangan beliau baru-baru ini, jadi tiga tahun atau satu penggal belum sempat lagi (wakil Sarawak menjadi Speaker Dewan Negara),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program ‘Mangkung Tiang’ (upacara pembukaan rumah) di Rumah Panjang Steward Saba di sini hari ini.

Bagaimanapun, Nanta menyerahkan semua keputusan itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Wan Junaidi dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-19 pada 19 Jun 2023, kemudian dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak bagi tempoh empat tahun bermula 26 Januari tahun ini hingga 26 Januari 2028.

Mutang pula dilantik Yang Dipertua Dewan Negara ke-20 pada 19 Februari lepas tetapi meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada Sabtu (10 Mei). - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!