DAP rakan setia, bukan 'abang besar' - Kor Ming

Kor Ming (dua dari kanan) bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad mendengar taklimat mengenai skop pembangunan ketika tinjauan ke Medan Selera Taman Perpaduan pada Isnin.
Kor Ming (dua dari kanan) bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad mendengar taklimat mengenai skop pembangunan ketika tinjauan ke Medan Selera Taman Perpaduan pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming membidas tanggapan bahawa parti itu bertindak sebagai 'abang besar' dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang diwujudkan bersama Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, persepsi yang dimainkan pimpinan Perikatan Nasional (PN) itu sama sekali tidak berasas dan bersifat kolot.

Menurutnya, sepanjang tempoh ini, DAP telah membuktikan bahawa parti itu memainkan peranan sebagai rakan setia terhadap semua parti kompenan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Tuduhan itu membuktikan bahawa PN ini terlalu taksub dengan pemikiran kolot dan jumud sehingga mengeluarkan pandangan yang tidak berasas.

"Selama ini kami bekerja sebagai satu pasukan kerana percaya kami kuat apabila bersama dan bekerjasama," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Radzi Jidin bahawa DAP akan mengekalkan perjuangan parti mereka dan bertindak sebagai 'abang besar' yang tidak mempedulikan saranan rakan gabungan itu.

Bekas Menteri Pendidikan itu turut menyatakan DAP menunjukkan sifat sebenar apabila tetap bertegas tidak akan menggugurkan agenda negara sekular dan 'Malaysian Malaysia' walaupun disarankan UMNO Pulai.

Kor Ming ditemui selepas mengadakan lawatan kerja program Sentuhan Kasih Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) ke Parlimen Tambun.

Artikel Berkaitan:

Dalam lawatan tersebut, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan itu turut mengumumkan peruntukan RM10.73 juta kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) bagi kerja naik taraf, penyelenggaraan infrastruktur awam dan penggantian lif di sekitar Tambun.