Jangan sampai jadi sasaran pemburu harimau

Penguatkuasaan lebih tegas perlu dilaksanakan dalam usaha melindungi hidupan liar terutama harimau di negara ini. - Gambar hiasan
Penguatkuasaan lebih tegas perlu dilaksanakan dalam usaha melindungi hidupan liar terutama harimau di negara ini. - Gambar hiasan
A
A
A

PENGUATKUASAAN lebih tegas perlu dilaksanakan dalam usaha melindungi hidupan liar terutama harimau di negara ini.

Tanpa penguatkuasaan sewajarnya, undang-undang digubal tidak mempunyai sebarang makna dan akhirnya tidak akan dapat mengekang sindiket pemburu haram antarabangsa.

Sebelum ini terdapat kebimbangan spesies Harimau Malaya atau Panthera Tigris Jacksoni dijangka pupus dalam tempoh lima hingga 10 tahun jika tindakan drastik tidak diambil dengan segera bagi mengatasi kepupusan haiwan berkenaan.

Ini kerana Harimau Malaya sememangnya diancam kepupusan, malah data menunjukkan populasinya berada pada tahap kritikal.

Berdasarkan dapatan Survei Harimau Kebangsaan Pertama yang dilaksanakan mulai 2016 hingga 2020, anggaran populasi Harimau Malaya terkini adalah kurang daripada 150 ekor.

Angka tersebut menunjukkan perbezaan yang signifikan jika dibandingkan pada 1950-an apabila sekitar 3,000 ekor Harimau Malaya dikesan pernah berkeliaran di hutan negara ini.

Penurunan jumlah harimau berpunca daripada pemburuan haram untuk pasaran gelap, selain konflik haiwan pemangsa itu dengan manusia.

Laporan mengenai penampakan harimau belang di kawasan Batang Kali, Gohtong Jaya, Kuala Kubu Bharu dan Serendah seperti dilaporkan media pada Ahad diharap tidak menarik perhatian pemburu haram ke kawasan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Harimau mendapat permintaan paling tinggi dalam kalangan penggemar daging haiwan eksotik kerana dipercayai bagus untuk kesihatan termasuk menguatkan tenaga batin walaupun tidak tidak dapat dibuktikan secara saintifik. Bayangkan semangkuk sup harimau boleh mencecah sehingga RM300!

Apa pun, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 (Akta A1646) yang berkuat kuasa Februari lalu diharap dapat mencegah aktiviti pemburuan haram, sekali gus menyelamatkan populasi pak belang.

Di bawah akta tersebut, mana-mana individu yang disabit kesalahan menyeludup hidupan liar sama ada ke dalam atau luar negara tanpa permit khas dikenakan tindakan lebih berat iaitu denda RM1 juta dan penjara tidak melebihi 15 tahun.

Penalti itu perlu kerana ia adalah jenayah serius dan sebagai usaha mencegah kepupusan hidupan liar terutama Harimau Malaya yang juga sumber khazanah negara tidak ternilai.