Nahas di Segamat: Remaja 15 tahun dalam keadaan stabil

Laporan Sinar Harian pada Ahad.
Laporan Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

SEGAMAT - Keadaan remaja lelaki 15 tahun yang terlibat dalam nahas lima kenderaan yang meragut enam nyawa di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, Jumaat lepas, dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata mangsa, Abdullah Amir Ruddin yang masih mendapat rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Segamat itu, kini menggunakan alat bantuan pernafasan.

Sebelum itu, pihaknya telah terkesan berikutan satu laporan berita pada jam 6.30 petang Sabtu yang mendakwa remaja berkenaan meninggal dunia.

"Polis mengesahkan berita berkenaan adalah tidak benar dan mangsa terbabit yang merupakan remaja lelaki berusia 15 tahun masih dirawat, di mana jumlah mangsa yang maut masih kekal enam orang.

"Polis memohon agar semua pihak tidak mengeluarkan sebarang berita yang tidak pasti kesahihannya kerana ia boleh memberi kesan kepada emosi keluarga yang masih bersedih. Segala perkembangan akan dimaklumkan dari masa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Ahmad Zamry berkata, pihak media juga dinasihatkan agar mendapatkan segala maklumat daripada pihak berwajib sebelum mengeluarkan sebarang berita bagi memastikan berita yang dikeluarkan adalah benar-benar sahih.

Dalam nahas Jumaat lepas itu, ibu dan bapa mangsa Norahimah Noor Muhammad, 43 dan Amir Ruddin Ismail, 46 serta empat beradik mangsa Fatimatulzahrah, 17; Seri Khadijah Aqilah, 13; Rufaidatul Asyariyah, 10 dan Muhammad Assyakrawi, 5 meninggal dunia dan jenazah kesemua mereka dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Ubudiah, Parit Jawa, Muar petang Sabtu. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: 'Arwah minta bergambar ramai-ramai, buat kenangan jika pergi dahulu'

Artikel Berkaitan:

Enam beranak maut: Perkahwinan adik bongsu jadi pertemuan terakhir

Enam beranak maut: Ahli keluarga adakan tahlil di bilik mayat hospital

Nahas 5 kenderaan: 6 sekeluarga disahkan maut

Nahas di Segamat: Remaja 15 tahun masih dirawat di ICU

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!