Ribut: 36 peniaga terjejas terima wang ihsan RM1,000

Saarani (dua dari kiri) melihat keadaan bumbung yang menempatkan 36 peniaga runtuh akibat ribut di Ipoh Night Market.
Saarani (dua dari kiri) melihat keadaan bumbung yang menempatkan 36 peniaga runtuh akibat ribut di Ipoh Night Market.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak menyalurkan bantuan wang ihsan sebanyak RM1,000 kepada 36 peniaga Ipoh Night Market di sini yang terjejas ribut pada Rabu lalu.

Kejadian sekitar jam 4.30 petang itu menyebabkan kelengkapan perniagaan rosak dihempap struktur bumbung yang runtuh.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bantuan segera itu sedikit sebanyak dapat membantu mangsa ribut yang berdepan kesulitan dalam memulakan perniagaan mereka semula.

"Kita tahu jumlah itu tidaklah mencukupi untuk menggantikan kerugian mereka tetapi sekurang-kurangnya mereka ada wang memulakan perniagaan.

"Kita faham barang-barang jualan hampir musnah dan kerugian dihadapi mereka banyak kerana ketika kejadian mereka menjangkakan kehadiran ramai pengunjung yang menyambut ambang merdeka," katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian di sini pada Ahad.

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Salbiah Mohamed dan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching.

Menurut Saarani, Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) sedia membantu peniaga terjejas yang memerlukan bantuan.

"Mereka boleh memohon pinjaman menerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) atau Skim Pinjaman Mikrokredit Yayasan Perak.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan beri cadangan dan sokongan kuat sekiranya mereka perlu membuat pinjaman," katanya.

Sementara itu, peniaga, Muhammad Amirul Abd Rahman, 30, berkata, bantuan yang diberikan kerajaan negeri itu dapat meringankan bebannya untuk memulakan kembali jualan nasi goreng ayam gunting yang diusahakannya dua tahun lalu.

Tambah Amirul, dia mengalami kerugian lebih RM8,000 apabila peralatan dapur dan bahan mentah rosak.

"Masa kejadian saya bersama seorang pekerja berlindung di sebalik barisan kedai lain dan sempat merakam kejadian ribut kuat.

"Dalam tempoh pembaikan ini, pemilik tapak memberi kami ruang untuk berniaga di lot berhampiran sementara lokasi ini siap sebulan lagi," katanya.