PRK: PN bimbang PH-BN buat persempadanan semula kawasan pilihan raya

Muhyiddin berucap pada Ceramah Perdana Perikatan Nasional di Dataran Utama Taman Kempas hari ini. - Foto Bernama
Muhyiddin berucap pada Ceramah Perdana Perikatan Nasional di Dataran Utama Taman Kempas hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan persempadanan semula kawasan pilihan raya dibimbangi akan dilakukan kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya mereka mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sekiranya langkah tersebut dibuat Kerajaan Perpaduan, kemungkinan besar kawasan pilihan raya negara ini daripada 222 ketika ini kepada 300 kerusi dengan pertambahan kerusi di bandar-bandar.

"Di mana kawasan yang dia (Kerajaan Perpaduan) nak tambah, mungkin di kawasan bandar-bandar yang mana terdapat kepadatan penduduk. Ini bukan soal isu perkauman, ini realiti geopolitik yang sudah ada di sini dan juga di tempat-tempat lain.

"Ini diistilahkan sebagai 'gerrymandering' di mana kawasan yang orang tak sokong dia (Kerajaan Perpaduan) dia keluarkan, masuk ke tempat lain, dia kumpulkan ke satu tempat.

"Dia hanya ambil orang-orang yang sokong, dan ditambah kerusi-kerusi baharu bagi menjamin kemenangan mereka dalam pilihan raya. Kalau ikutkan keadaan sekarang ini majoriti kawasan bandar akan dilakukan persempadanan semula, manakala untuk Kedah, Kelantan, Terengganu dan negeri di utara mungkin tidak ditambah banyak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana PN di Kempas di sini pada Sabtu malam.

Hadir sama, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai; Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan calon PN bagi PRK Parlimen Pulai, Zulkifli Jaafar.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata,rancangan itu boleh disekat pengundi Pulai dengan memenangkan calon PN di Parlimen Pulai pada 9 September yang seterusnya menafikan majoriti dua pertiga Kerajaan Perpaduan.

Artikel Berkaitan:

"Jika Kerajaan Perpaduan cukup majoriti sudah tentulah itu akan dilakukan, namun kita pengundi kena fikir kesan dan impak persempadanan semula yang cukup besar ini.

"Sudah tentu kawasan di bandar yang dikuasai pembangkang terutama DAP akan bertambah berganda, namun apa akan jadi kepada kita nanti,"katanya.