Angkat pemimpin muda jika UMNO mahu terus 'hidup'

Wan Abdul Hakim
Wan Abdul Hakim
A
A
A

KUALA TERENGGANU - UMNO Terengganu perlu melakukan perubahan drastik dengan memberi peluang kepada golongan pelapis muda untuk memimpin parti itu bagi memastikan ia terus 'bernyawa'.

Bekas Ketua Penerangan UMNO Terengganu, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar berkata, ia melibatkan penstrukturan semula lapisan kepimpinan bermula akar umbi sehingga ke peringkat kepimpinan tertinggi parti berkenaan.

Jelas beliau, ia perlu dilakukan kerana sudah tiada ruang selesa buat parti itu sekiranya mahu terus diterima rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

"Sekiranya UMNO masih dengan pendekatan sekarang, macam mana mahu dapat hasil berbeza pada PRU16 nanti.

"Semua pemimpin tertinggi di peringkat negeri dan nasional perlu bertanggungjawab atas kekalahan besar dalam PRU15 dan PRN (pilihan raya negeri) serta berlapang dada untuk berundur demi parti," katanya ketika dihubungi di sini, pada Jumaat.

Menurut Wan Abdul Hakim, sehingga kini UMNO dilihat tidak mengambil sebarang langkah bagi membentuk gaya kepimpinan baharu untuk mendekati pengundi terutama pengundi muda.

"Saya lihat ketika PRN lalu hampir tidak kelihatan sebarang 'taktik pertempuran' khususnya di Terengganu. Jika ada di saat akhir pun, ianya tidak lagi berkesan," ujar beliau.

Wan Hakim yang merupakan anak kepada bekas Menteri Besar Terengganu, Allahyarham Tan Sri Wan Mokhtar turut mengimbau episod kekalahan yang pernah dialami Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya 1999.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ketika itu, arwah bapanya serta barisan kepimpinan lain sebulat suara mengundur diri bagi memberi ruang kepada barisan pelapis muda.

Jelas beliau, langkah itu berhasil apabila BN berjaya menawan kembali Terengganu pada pilihan raya 2004 dengan diterajui oleh Tan Sri Idris Jusoh.

"UMNO Terengganu perlukan figura politik baharu yang lebih muda dengan idea lebih segar serta bernas untuk membawa cabaran mencapai kemenangan.

"Jika strategi yang diatur betul dan tersusun mengikut data, gerak kerja juga diatur secara rapi dan memberi tumpuan menangani isu-isu asas (bread and butter), saya percaya tak mustahil UMNO Terengganu kembali memenangi hati rakyat dalam tempoh empat tahun lagi, "katanya.

Dalam pada itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih itu menyifatkan gelombang kemaraan PN pada PRU15 dan PRN baru-baru ini sekadar trend semasa kerana rakyat tidak mahu lagi negara diterajui UMNO yang sering dimomokkan sebagai parti rasuah.

Beliau mendakwa naratif itu berjaya dimainkan hingga pengundi terpengaruh dengan 'kesucian' PN sedangkan pemimpin utama gabungan parti itu juga terpalit dengan beberapa kes rasuah.

"Apa yang penting ketika ini adalah UMNO perlu bangkit semula dan menjuarai isu-isu rakyat.

"UMNO juga perlu menawarkan solusi yang realistik serta pelan pembangunan untuk terus membawa Malaysia menjadi negara maju mengikut acuan sendiri," katanya.

PRN Terengganu pada 12 Ogos lalu menyaksikan Perikatan Nasional (PN) menyapu bersih semua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu dan semua lapan kerusi Parlimen dalam PRU15 yang berlangsung pada November 2022.