Sampai hati nak gugurkan nama bapa dalam kad pengenalan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEWAKTU baru jadi wartawan, Merak Jalanan diminta mengupas isu anak derhaka. Maka, sebuah rumah orang tua dituju bagi mendapatkan pengakuan.

Daripada dua warga emas yang ditemu bual, cerita salah seorang daripada mereka masih berbekas dalam hati.

Cerita lelaki itu kepada Merak Jalanan, ketika tenaganya masih menyala-nyala, dia banyak menghabiskan masa mencari rezeki siang dan malam.

Anak-anak dibiarkan di bawah jagaan isteri. Situasi itu telah membawa bahana kepadanya. Masakan tidak, dua zuriat termasuk belahan hatinya berasakan mereka tidak mendapat cukup kasih sayang.

Pengorbanan bekerja sampai adakala tidak pulang ke rumah dianggap hanya mementingkan diri.

Masa silih berganti menyaksikan lelaki itu jatuh sakit. Siapa lagi yang harus dicari?

Malangnya, tiada seorang anak mahu menjaganya. Lebih mendukacitakan lagi, si isteri menuntut cerai. Permohonan maafnya diabaikan begitu sahaja.

Situasi itu menyebabkan dia memilih menempatkan diri di rumah orang tua.

Artikel Berkaitan:

Warga emas itu menangis tatkala memberitahu dua anaknya juga sudah tidak mengaku dia sebagai bapa kandung selepas dapat ayah baharu.

Itu cerita hampir sedekad lalu. Baru-baru ini Merak Jalanan jumpa kawan lama. Dia meluahkan perasaan yang sama sekali tak boleh diterima dek akal.

Dia bertanya bagaimana cara menggugurkan nama bapa sendiri dalam kad pengenalan kerana rasa bencinya yang membuak-buak terhadap orang tua itu.

Dakwa jurutera itu, dia tak perlukan bapa yang suka menderanya sejak kecil dan kini bila sudah menua, sibuk menagih kekayaan daripadanya.

Merak Jalanan geleng kepada mendengar hasrat tersebut. Seburuk mana pun perangai mereka, bapa ialah insan yang wajib kita hormati.

Tiada mereka, tiadalah kita di dunia. Sesungguhnya, dendam kepada ibu bapa sendiri adalah sikap yang dilaknati oleh ALLAH SWT.