Pemberian kad pengenalan tertakluk Perlembagaan Persekutuan - JPN

JPN minta orang ramai tidak mensensasikan isu tular mengenai seorang wanita yang menghadapi kesukaran hidup selama 21 tahun kerana tidak mempunyai kad pengenalan diri susulan hantaran yang dibuat Syed Saddiq.
JPN minta orang ramai tidak mensensasikan isu tular mengenai seorang wanita yang menghadapi kesukaran hidup selama 21 tahun kerana tidak mempunyai kad pengenalan diri susulan hantaran yang dibuat Syed Saddiq.
A
A
A

SHAH ALAM - Proses pemberian kad pengenalan yang dilaksanakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sentiasa tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan selari dengan undang-undang yang berkuat kuasa bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara terjamin.

Sehubungan itu, JPN meminta orang ramai tidak mensensasikan isu tular mengenai seorang wanita yang menghadapi kesukaran hidup selama 21 tahun kerana tidak mempunyai kad pengenalan diri susulan hantaran yang dibuat Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di X pada Jumaat.

"Jabatan ini juga mengambil maklum, di mana rentetan hantaran tersebut, perkara berkaitan permohonan kewarganegaraan menjadi perdebatan umum oleh pelayar media sosial.

“JPN ingin memohon agar orang ramai tidak mensensasikan perkara ini dan seterusnya memberikan tanggapan yang tidak benar kepada perkhidmatan kerajaan.

“Melissa, 21, telah berjaya dihubungi untuk mendapatkan fakta kes mengenai permohonan sebenar dan penelitian sewajarnya sedang dibuat,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Berdasarkan hantaran yang dibuat oleh Syed Saddiq di X pada Jumaat, beliau menerima pesanan daripada Melissa yang bercerita mengenai kesukaran hidup yang terpaksa dihadapi kerana tidak memiliki MyKad.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita hadapi kesukaran hidup, 21 tahun tanpa kad pengenalan

Syed Saddiq berkata, Melissa hanya bersekolah sehingga Tahun Enam sahaja berikutan isu tersebut walaupun dalam sijil kelahiran dinyatakan status warganegara dan mempunyai nombor kad pengenalan.

Tambah JPN, orang ramai yang mempunyai masalah bukan sahaja mengenai kewarganegaraan, namun pelbagai perkhidmatan lain boleh hadir terus ke mana-mana 212 pejabat JPN di seluruh Malaysia untuk dibantu dan dibuat penelitian sewajarnya.

Artikel Berkaitan:

“Antara masalah perkhidmatan lain ialah pendaftaran lewat kelahiran, masalah cap ibu jari, sijil pengangkatan anak angkat, prosedur perkahwinan bukan Islam dan sebagainya.

“Pemohon dinasihatkan hadir sendiri tanpa menggunakan khidmat ejen atau orang tengah kerana setiap permohonan dan masalah individu mungkin memerlukan penyelesaian yang berbeza.

“Orang ramai perlu sentiasa merujuk portal dan media sosial rasmi JPN yang menyediakan maklumat terkini sebagai panduan,” ujarnya.