Merdeka 66 tahun, sukan negara maju setapak atau mundur bertapak-tapak

Beregu badminton lelaki negara, Aaron Chia (kanan)-Soh Wooi Yik (dua, kanan) memenangi pingat gangsa pada temasya Olimpik Tokyo 2020. Gambar kecil: Pekan
Beregu badminton lelaki negara, Aaron Chia (kanan)-Soh Wooi Yik (dua, kanan) memenangi pingat gangsa pada temasya Olimpik Tokyo 2020. Gambar kecil: Pekan
A
A
A

MALAYSIA telah merdeka 66 tahun, namun pembabitan negara dalam sukan sebenarnya sudah bermula lebih awal daripada itu.

Pemashuran Hari Kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957 secara tidak langsung telah memperkasakan sukan sebagai ejen perpaduan negara. Terutama dalam usaha kerajaan untuk menyatupadukan masyarakat majmuk pada waktu itu.

Sejak itu aktiviti sukan berkembang secara sihat membabitkan penyertaan atlet terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, India, Cina, Serani, Sikh, Punjabi dan lain-lain yang mewakili pasukan kebangsaan seperti bola sepak, hoki dan badminton hingga kita disegani di peringkat rantau Asia dan juga di dunia.

Kita pernah muncul juara badminton Piala Thomas tiga kali sebelum Merdeka pada 1949, 1952 dan 1955. Dua lagi kejuaraan pada 1967 dan 1992.

Kita menduduki tempat keempat Hoki Piala Dunia 1975 di Kuala Lumpur. Pasti generasi lama selepas merdeka masih ingat aksi separuh akhir yang sengit sebelum Malaysia tumpas 1-2 kepada India.

Begitu juga dengan sejarah layak ke Sukan Olimpik di Munich, Jerman 1972 dan layak secara merit tanpa beraksi di Sukan Olimpik, Moscow, Rusia 1980.

Inilah penonjolan kehebatan negara daripada pemuafakatan yang dibina hingga memperkukuhkan hubungan sesama bangsa di Malaysia.

Namun di manakah kedudukan kita dalam aspek pembangunan sukan dan pencapaian dalam sukan negara di peringkat antarabangsa setelah kita mencapai kemerdekaan kali ke-66 ini.

Artikel Berkaitan:

Apakah kita sudah maju ke hadapan atau statik sahaja atau maju setapak ke hadapan tetapi sebenarnya mundur beberapa tapak ke belakang?

Setelah berpuluh-puluh kurun lamanya apakah semua perkara yang kita fikirkan, yang kita rancangkan, yang kita laksanakan, yang sudah kita laburkan dengan pelbagai kaedah itu telah membuktikan kemajuan dan kejayaan yang signifikan.

‘Benchmark’ ukuran yang saya ingin kongsikan ini berasaskan kepada mimpi kita yang belum menjadi kenyataan untuk memenangi pingat emas pertama di temasya sukan paling agung di dunia iaitu Sukan Olimpik sejak menyertainya pada 1956, setahun sebelum kita mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Di manakah silap atau lemahnya kita?

Pencapaian negara jiran

Mari kita lihat pencapaian beberapa negara jiran kita, Thailand sudah pun mengumpul 10 pingat emas sejak penyertaan di Sukan Olimpik Finland 1952. Pingat emas negara gajah putih ini datangnya menerusi acara tinju dan angkat berat dan menuai pingat emas pertama mereka oleh Somluck Kamsing pada Sukan Olimpik Atlanta 1996.

Indonesia juga sudah mengumpul 10 pingat emas di Sukan Olimpik dan kesemuanya menerusi acara badminton. Mereka negara pertama di Asia Tenggara menuai dua pingat emas di Olimpik Barcelona 1992 menerusi Alan Budi Kusuma dan Susi Susanti.

Vietnam juga sudah menamatkan igauan emas mereka apabila melakukannya menerusi acara menembak oleh Hoang Xuan Vinh dalam cara 10 meter pistol angin di Sukan Olimpik Rio 2016.

Negara kerdil jiran kita, Singapura yang kali pertama menyertai Sukan Olimpik London 1948 juga mendahului Malaysia apabila mencatat sejarah pingat emas pertama mereka menerusi perenang Joseph Schooling dalam acara 100 meter gaya kupu-kupu.

Begitu juga dengan Fillipina menanti sejak penyertaan pertama mereka di Olimpik Paris 1924 apabila atlet angkat beratnya Hidilyn Diaz yang mencetuskan fenomena ketika terperangkap dengan situasi pandemik Covid-19 terpaksa berlatih serba kekurangan di sebuah garaj kereta di Melaka.

Wira sukan Malaysia belum cukup ampuh

Wira-wira sukan negara, Datuk Lee Chong Wei, Datuk Azizulhasni Awang masih tidak cukup ampuh untuk menggapainya beberapa kali walaupun telah bekerja keras untuk merealisasikan impian itu.

Era Chong Wei sudah berakhir, tetapi kita kini masih lagi berharap kepada Jijoy sekali lagi sejak 2008 (sudah masuk lima kitaran Olimpik atau 20 tahun) jika beliau beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 nanti.

Begitu juga sandaran pasti kepada Aaron Chia dan Soh Wooi Yik untuk menukar warna pingat daripada gangsa yang mereka perolehi pada temasya di Tokyo 2020 (2022).

Lain-lain sandaran selain badminton dan basikal, terjun, memanah, menembak, hoki atau olahraga kali ini agak tidak meyakinkan. Harap-harap kita tidak pulang tangan kosong dari Paris nanti.

Itu sedikit analisis prestasi kita bersandarkan pencapaian dan harapan serta impian pada Sukan Olimpik Paris 2024 nanti.

Di manakah silapnya kita dalam konteks untuk melahirkan pemenang pingat emas pertama di Sukan Olimpik atau melahirkan seberapa ramai juara dunia menerusi pelbagai jenis sukan lain.

Apakah kita masih perlu menumpukan kepada sukan yang kononnya bersesuaian dengan genetik rakyat yang ada di Malaysia ini dan tidak perlu bergantung kepada saiz fizikal tubuh badan yang lebih besar, tinggi, padat dan padu.

Ya, spesifikasi ini mungkin tidak terlalu ramai tetapi ianya semakin mudah kita temui sekarang ini. Genetik rakyat Malaysia yang mempunyai tubuh badan yang semakin tinggi dan besar (bukan gemuk atau obesiti) semakin bertambah dan seiring dengan amalan atau diet pemakanan yang sudah berubah sekarang.

Kalau tidak percaya atau tidak yakin dengan kenyataan ini, eloklah bertanya juga kepada Jepun yang kini mempunyai ahli-ahli sukan yang tubuh fizikal yang jauh sudah berubah pada era tahun 60 dan 70-an.

Tidak mengapalah kalau kita masih ingin meneruskan kaedah kita dalam membangunkan bakat sukan menerusi 'scouting' ketika melihat mereka beraksi di sukan peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan.

Mereka dipilih untuk digilap mewakili negara tetapi kita tahu mereka akan 'struggle' untuk pergi lebih jauh apabila berdepan dengan pesaing-pesaing atau atlet-atlet dunia yang mempunyai kelebihan tubuh fizikal yang jauh lebih ampuh, langkah yang lebih panjang, jangkauan tangan dan capaian sepak terajang yang lebih jauh walaupun bersaing dalam klasifikasi yang telah ditetapkan pada sukan-sukan tertentu.

Bersama kita buka minda

Mari saya kongsikan beberapa keadaan bersandarkan kepada data kajian dan pemerhatian langsung dalam beberapa acara sukan untuk membuka minda para jurulatih serta pakar-pakar dan ahli akademik sukan yang ada di negara kita ini. Saya tidak semestinya betul, tetapi renung-renungkanlah.

Menurut kajian Dr Sam Allen dari Universiti Loughborough bahawa pelari pecut elit berlari dalam lingkungan 45 langkah bagi larian 100 meter manakala pelari pecut amatur antara 50 hingga 55 langkah.

Pemegang rekod dunia dengan masa 9.58 saat, Usain Bolt dari Jamaica yang mempunyai susuk tubuh badan tinggi lampai 1.95 meter biasanya hanya memerlukan 41 langkah, 3 atau 4 langkah kurang daripada pelari lain. Menurut kajian Allen semakin kurang langkah yang digunakan atau kaki itu menjejak ke tanah semakin laju atau pantas larian pelari-pelari pecut itu.

Justeru, secara signifikannya sudah pastilah ini hakikat yang terbukti untuk jadikan sebagai asas untuk memilih dan membangunkan bakat atlet kita pada masa akan datang. Ia membabitkan semua acara sukan olahraga sebenarnya baik acara padang begitu juga dengan trek.

Simpati sungguh saya kepada pelari negara, Umar Osman ketika beraksi pada final acara 400 meter akhir pada Sukan Universiti Dunia atau Universiade Chengdu, China baru-baru ini.

Walaupun dua kali memecahkan rekod kebangsaan dalam tempoh 24 jam (46.09 saat), namun bayangkan betapa terseksanya dia terpaksa berlari dari lorong paling dalam, dan setelah cuba mengejar hingga lebih 300 meter Umar masih belum dapat memintas seorang pun pelari dari Eropah dan Afrika di hadapan beliau.

Faktor fizikal tubuh badan yang saya sebutkan itu sekali lagi membataskan hasrat Umar. Dia menamatkan larian di tempat ke tujuh daripada lapan peserta.

Begitu juga faktor fizikal tubuh badan turut menyaksikan atlet tukul besi negara Grace Wong dan Queenie Ting atlet acara lempar cakera seperti berada di kelas 'intermediate' apabila jarak balingan masing-masing kurang 10 meter di belakang juara bagi ke dua-dua acara itu.

Terdapat faktor lain pula apabila saya mengamati acara terjun dengan China menyapu bersih 15 pingat emas Universiade yang ditawarkan. Aksi terjun mereka bagaikan sebilah pisau yang jatuh ke dalam air, hanya sedikit percikan air yang membuak berbanding atlet penerjun kita dan negara lain.

Begitu juga dengan sukan-sukan lain yang nampaknya kita perlu memikirkan kembali apakah kaedah yang mungkin di luar kotak pemikiran kita untuk membangunkan bakat-bakat sukan yang boleh berada di puncak dunia dan memenangi pingat emas untuk negara di Sukan Olimpik.

* Datuk Dr Pekan Ramli ialah penganalisis sukan tempatan.