PM ajak rakyat memaknai kemerdekaan dengan jiwa, pemikiran merdeka

Anwar (tengah) bersama orang ramai semasa majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Rabu. - Foto Bernama
Anwar (tengah) bersama orang ramai semasa majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh lapisan masyarakat memaknai kemerdekaan negara dengan jiwa dan pemikiran merdeka.

Bercakap dalam Majlis Amanat Perdana sempena Hari Kebangsaan 2023, beliau menjelaskan, memaknai merdeka bermaksud daripada pimpinan tertinggi sehingga rakyat harus sedar bahawa bumi bertuah Malaysia merupakan satu amanah yang perlu dipertanggungjawabkan.

"Segala kuasa yang ada di peringkat kecil kampung sehinggalah ke Pejabat Perdana Menteri (PMO) mesti melahirkan jiwa yang merdeka," katanya di hadapan 8,000 hadirin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Rabu.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta menteri kabinet.

Menurut Anwar, usaha untuk memastikan setiap rakyat memiliki jiwa merdeka harus diteruskan dengan mengembalikan hak kepada rakyat sekali gus dapat mengangkat martabat negara.

"Saya yakin kalau semangat ini ada, Malaysia akan muncul sebagai negara hebat dan gagah di Asia Tenggara," katanya.

Tegas beliau, kemerdekaan yang dinikmati hari ini adalah hasil daripada perpaduan Melayu, Bumiputera, Cina, India, suku kaum Sabah dan Sarawak harus dipertahankan.

"Kesatuan dan perpaduan yang kita pupuk ini untuk apa? Untuk dijamin masa depan melalui dasar dan pelaksanaan yang dilakukan pada masa sekarang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Anwar berkata, dalam usaha bergerak ke hadapan, terdapat sebilangan kecil pihak tidak menyenangi dasar pengurusan dan tata kelola yang diperkenalkannya sebaik sahaja mengambil alih tampuk pimpinan.

"Jangan gunakan kuasa untuk memunggah kekayaan untuk diri dan keluarga atau kroni," katanya.

Tambah beliau, perbezaan kaum, budaya dan agama rakyat negara ini tidak mendatangkan masalah kerana setiap hak individu telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Negara ini tegak dari dahulu, sekarang dan akan terus tegak dengan memperakui Kontrak Sosial antara semua kaum serta jaminan hak warganegara mengamalkan agama dan budaya mereka turut dipertahankan," katanya.

Ujar beliau, kerajaan pimpinannya memberi jaminan akan terus mempertahankan hak setiap warga.

"Sebab itu kita harus memberi perhatian ke arah mengelak daripada apa sahaja usaha yang mungkin melemahkan semangat kejituan dan perpaduan dalam kalangan kita.

"Jangan remehkan hal ini," katanya.