1MDB: Jho Low buka akaun, tiga bulan sebelum terima AS$700 juta

Jho Low
Jho Low
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, bahawa ahli perniagaan, Low Taek Jho membuka akaun bank Switzerland untuk syarikatnya, Good Star Ltd tiga bulan sebelum menerima AS$700 juta dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Penganalisis petugas khas 1MDB, Adam Ariff Mohd Roslan berkata demikian semasa prosiding kes empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama, membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Saksi pendakwaan ke-47 berusia 29 itu berkata, ahli perniagaan dalam buruan yang lebih dikenali sebagai Jho Low membuka akaun bank Good Star pada 11 Jun 2009.

Ketika ditunjuk satu dokumen oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar, Adam Ariff berkata, dana AS$700 juta pula diterima pada 30 September tahun sama.

Kamal Baharin: Siapa pemilik akaun itu?

Adam Ariff: Mengikut borang pembukaan akaun, ia menyatakan akaun Good Star ditandatangani oleh pemiliknya iaitu Taek Jho.

Mahkamah sebelum ini turut diberitahu, AS$700 juta itu dipindahkan kepada Good Star Ltd yang kemudian didapati merupakan sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengan Jho Low.

Ia menyebabkan 1MDB berhutang AS$700 juta, berpunca daripada pindahan dana kepada syarikat berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini mahkamah juga dimaklumkan bahawa siasatan Bank Negara Malaysia (BNM) pada awal 2015 mendapati AS$700 juta dana 1MDB dialihkan ke akaun luar pesisir yang dikaitkan dengan Jho Low.

Menyentuh isu terbabit, saksi pendakwaan ke-46, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berkata, bank pusat itu menjalankan siasatan, berikutan kegagalan 1MDB memberikan jawapan mengenai apa yang berlaku kepada dana yang dihantar ke luar negara pada 2009.

Katanya, BNM mengambil masa sebelum menyedari bahawa dana itu dipindahkan kepada Good Star kerana pihaknya perlu mendapatkan maklumat lanjut daripada pengawal selia luar negara terlebih dahulu.

Adam Ariff memberi keterangan terhadap Najib, 70, yang menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini hakim Mahkamah Rayuan) bersambung 18 September ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 1MDB: Dua akaun Najib babit transaksi RM2.28 bilion dianalisis