Semua boleh hadir konsert dengan syarat bukan hiburan maksiat - Mufti Kelantan

Mohamad Shukri
Mohamad Shukri
A
A
A

KOTA BHARU - Tidak timbul isu individu dari tahfiz atau bukan tahfiz jika konsert yang dihadiri itu tidak menjurus kepada perbuatan maksiat.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, agama Islam tidak 'double standard' dan mereka yang dari tahfiz juga boleh menghadiri konsert dengan syarat konsert itu bukan hiburan maksiat.

Katanya, konsert yang tidak maksiat ialah konsert yang mengingati ALLAH dan dibenarkan oleh syarak serta boleh dihadiri masyarakat.

“Konsert yang dibenarkan oleh syarak ialah apabila kita hadir itu lagi mendekatkan kita dengan ALLAH dan makin terasa, kita ini ialah hamba ALLAH.

“Tapi kalau kita hadir itu, kita lupa pada ALLAH atau lupa pada diri maka itu tidak diizinkan. Kita sembahyang atau bayar zakat pun untuk ingat ALLAH. Jadi, konsert pun biarlah yang mendekatkan diri kepada ALLAH SWT,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Malaysia #QuranHour peringkat negeri Kelantan di Masjid Muhammadi di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung isu rakaman video tular membabitkan sekumpulan pelajar tahfiz di Kepci Music Fest 2023 pada Sabtu lalu.

Mohamad Shukri berkata, perlu melihat kepada konsert itu dan jika tempat itu boleh menimbulkan kemaksiatan, memang tidak wajar untuk membawa budak tahfiz bahkan dihadiri oleh mana-mana umat Islam.

Ujar beliau, layanan Islam terhadap semua umatnya adalah sama rata tanpa mengira cara pemakaian seseorang atau mana-mana latar belakang individu itu.

Artikel Berkaitan:

Malaysia #QuranHour yang berlangsung di Masjid Muhammadi di Kota Bharu.
Malaysia #QuranHour yang berlangsung di Masjid Muhammadi di Kota Bharu.

“Tak kira bersongkok atau berserban. Jika yang tidak bersongkok atau tidak berserban boleh pergi ke konsert itu (konsert bukan maksiat), maka yang bersongkok atau berserban juga boleh menghadirinya.

“Kalau yang tidak bersongkok atau tidak berserban, tidak boleh pergi, (ke konsert maksiat) maka yang tahfiz pun tak boleh. Rukun Islam itu tidak double standard,” katanya.

Dalam pada itu, berkaitan kemerdekaan mengikut perspektif Islam, beliau berkata, perkara tersebut berkaitan rapat dengan keamanan dan keharmonian sesebuah negara.

Katanya, konsep kemerdekaan dalam Islam yang pertama ialah merdeka akidah, maknanya individu itu tidak terbelenggu dengan aliran-aliran atau fahaman-fahaman yang celaru.

“Fahaman-fahaman celaru ialah yang tidak bertuhankan yang sebenar. Mereka yang dapat membebaskan diri daripada fahaman akidah bercelaru ialah orang yang merdeka.

“Dalam konteks politik, apabila kita terlepas daripada belenggu penjajahan British dan sebagainya, maka kita dinamakan merdeka. Dalam kemerdekaan ini, kita perlu bebas termasuklah cara berfikir dan jangan lagi berfikir dengan cara penjajah,” ujar beliau.

ARTIKEL BERKAITAN:

Ahmad Fadhli persoal tindakan jemput anak-anak tahfiz ke konsert

Kerajaan, KFC tak terlibat isu pelajar tahfiz ke konsert - Andrie

Konsert langgar syariat Islam, tidak sesuai budaya orang timur - Zuraida

Konsert bukan anjuran kerajaan tapi korporat, swasta - Mohd Na'im