Konsert bukan anjuran kerajaan tapi korporat, swasta - Mohd Na'im

Laporan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil: Mohd Na'im
Laporan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil: Mohd Na'im
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar menjelaskan bahawa penganjuran Kepci Muzik Festival di Shah Alam, Selangor bersempena sambutan 50 tahun KFC pada Sabtu lepas bukan dianjurkan oleh kerajaan.

Sebaliknya, beliau berkata, program berkenaan telah dianjurkan oleh pihak korporat dan swasta.

"Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah menghubungi penganjur dan meminta penjelasan berkenaan isu tersebut.

"Makluman yang diterima oleh penganjur ialah jemputan pelajar-pelajar tersebut ke program karnival dan konsert berkenaan telah dibuat oleh pihak ketiga yang menaja golongan kurang bernasib baik termasuklah anak-anak tahfiz dari sebuah madrasah masyarakat Rohingya di Shah Alam,” katanya dalam sebuah video yang dimuat naik di Facebook rasminya.

Mohd Na’im turut menasihatkan semua pihak agar lebih berhati-hati dan menjaga sensitiviti agama, adab serta adat ketimuran dalam menganjurkan sebarang program.

Beliau berkata, penganjuran program juga perlu mengambil kira kesesuaian pengisian serta penontonnya termasuk dalam program yang melibatkan pelajar tahfiz dan anak muda.

"Nasihat saya, jadikan ia (isu berkenaan) sebagai ikhtibar kepada semua untuk memastikan mengikut garis panduan yang telah disediakan, saya telah meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk memanggil pihak berkenaan dalam mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya.

Semalam, seorang individu bernama Andrie Ung Han Xiang mengaku bertanggungjawab membawa pelajar tahfiz ke konsert itu bagi memberi peluang kepada anak-anak yatim yang kurang berkemampuan merasai pengalaman menghadiri program tersebut.

Artikel Berkaitan:

Katanya, video tular di media sosial memaparkan kanak-kanak memakai jubah hijau dan berserban putih itu adalah dari Madrasah Watahfiz al-Quran Rohingya TTDI Jaya yang merupakan anak-anak pelarian Rohingya beragama Islam dan hampir tidak tahu untuk berkomunikasi di dalam Bahasa Melayu. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:

Kerajaan, KFC tak terlibat isu pelajar tahfiz ke konsert - Andrie