Tak sempat hantar RM160,000 ganja ke Perak

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A
SUNGAI PETANI - Polis menahan sepasang suami isteri serta merampas 51 ketulan mampat daun kering disyaki ganja bernilai RM160,000 di sebuah rumah di Bandar Seri Astana di sini, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pasangan berumur 32 tahun itu ditahan dalam serbuan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang pada jam 12.30 tengah malam.

"Ketika serbuan, suspek lelaki berusia 32 tahun itu dipercayai baru sahaja mengambil bekalan dadah tersebut dari Kelantan dan singgah berehat di rumah, sebelum meneruskan perjalanan untuk menghantar bekalan dadah tersebut ke kawasan utara Perak.

"Satu ketulan mampat daun kering disyaki dadah jenis ganja ini ditemui di dalam rumah, manakala 50 ketulan lagi ditemui di dalam sebuah kereta jenis Honda Jazz, yang dipercayai digunakan suspek untuk mengambil dan mengedar dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini hari ini.

Zaidy berkata, suspek lelaki yang bekerja di sebuah kilang dipercayai berperanan sebagai 'transporter' atau pengangkut.

Katanya, lelaki berkenaan menerima upah untuk mengambil bekalan dadah dari negara jiran dan mengedarkan bahan itu di negeri bersempadan berdasarkan permintaan.

"Kadar bayaran sekitar RM100 untuk setiap ketulan mampat dadah yang dihantar.

"Siasatan awal mendapati suspek dipercayai mula aktif dalam kegiatan pengedaran dadah itu sejak April tahun ini dan suspek telah melakukan tiga penghantaran, sebelum ditangkap dalam serbuan ini," katanya.

Beliau berkata, seorang anak perempuan mereka berusia setahun juga berada di rumah itu semasa serbuan dan polis turut merampas sebuah motosikal.
Artikel Berkaitan:


Zaidy berkata, lelaki itu mempunyai dua rekod kesalahan narkotik dan dua kesalahan jenayah serta ujian saringan mendapati beliau positif dadah.

"Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari, bermula 28 Ogos hingga 3 September ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah... kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952," katanya.

Katanya, rampasan seberat 51.6 kilogram itu boleh digunakan oleh seramai 103,270 penyalah guna dadah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti pengedaran atau penyalahgunaan dadah boleh menyalurkan maklumat ke talian 012-2087222. - Bernama