Kerajaan akan bangunkan industri akuakultur

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin ketika lawatan rasmi di World Fish, Batu Maung hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin ketika lawatan rasmi di World Fish, Batu Maung hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - Kementerian Kementerian dan Industri Asas Tani kini memberi tumpuan membangunkan industri akuakultur dalam usaha mengurangkan kebergantungan negara terhadap bekalan ikan yang ditangkap.

Timbalan Menterinya, Sim Tze Tzin berkata, Malaysia kini menghadapi masalah sumber perikanan yang berkurangan kerana peningkatan permintaan terhadap bekalan ikan berikutan pertambahan jumlah penduduk.

Menurutnya, sungguhpun buat masa sekarang negara masih mencapai 90 peratus tahap kemampuan bekalan ikan namun sesetengah jenis ikan diimport dari negara jiran.

“Secara umumnya bekalan ikan bagi rakyat Malaysia masih mencukupi dengan ada yang ditangkap dan ada yang diternak.

Tetapi untuk masa hadapan kita perlu membangunkan industri akuakultur sehingga kebergantungan terhadap ikan ditangkap dan diternak mencapai tahap 50-50,” katanya.

Beliau demikian selepas melawat World Fish Centre, sebuah organisasi penyelidikan mengenai perikanan dan akuakultur di sini hari ini.

Tze Tzin yang juga Anggota Parlimen Bayan Baru berkata, setakat ini kebergantungan ikan di Malaysia ialah pada tahap 70 peratus ikan ditangkap dan 30 peratus daripada industri akuakultur.

"Bagi Pulau Pinang ia sudah pun mencapai nisbah 50-50 bagi ikan yang ditangkap dan ikan akuakultur.

Artikel Berkaitan:

“Saya sudah melawat beberapa perusahaan akuakultur di sini dan saya rasa ia peluang perniagaan yang bagus untuk generasi muda melibatkan diri bagi membina masa depan lebih baik,” katanya.

Menurutnya, Jabatan Perikanan ada menawarkan beberapa latihan seperti program latihan perintis bagi penternakan ikan dan nasihat teknikal kepada semua pihak yang berminat dalam sektor akuakultur.

"Bagaimanapun, terdapat beberapa masalah yang perlu ditangani seperti mengenal pasti lokasi sesuai bagi akuakultur, masalah pencemaran industri, harga makanan ikan yang tinggi dan penyakit dalam akuakultur.

“Itulah sebabnya mengapa negara ini perlu bekerjasama dengan lebih banyak NGO seperti World Fish bagi mencari jalan penyelesaian terhadap semua masalah tersebut,” katanya. - Bernama