KPDNHEP berjaya kekal harga RON95, diesel yang diapung

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah berjaya mengekalkan harga RON95 dan diesel yang diapungkan dengan harga RON95 dan diesel masing-masing mencecah RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter.

Timbalan menterinya, Chong Chieng Jen berkata inisiatif itu adalah sebahagian daripada pencapaian setahun Pakatan Harapan (PH) sejak membentuk kerajaan persekutuan pada 9 Mei tahun lepas.

"Jika tidak, harga RON95 sekarang ialah RM2.51 seliter dan diesel RM2.48 seliter. Untuk ini, kerajaan memberi subsidi kepada rakyat sebanyak RM133 juta seminggu, " kata Chong pada sidang media sempena Setahun Pentadbiran kerajaan PH di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan juga membelanjakan RM2 bilion setahun sebagai subsidi kepada penggunaan silinder Gas Petroleum Cecair LPG) supaya harga dikekalkan pada RM26.60 untuk tong gas 14 kg.

Jika tidak, harganya ialah kira-kira RM56 untuk tong gas 14 kg, kata Chong, yang juga Pengerusi DAP Sarawak. Mengenai kedudukan istimewa Sarawak dan Sabah, beliau berkata kerajaan persekutuan hampir untuk mengembalikan hak kedua-dua negeri tersebut berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebelum usaha itu digagalkan oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Beliau berkata amat sedih rang undang-undang itu ditolak oleh GPS, yang bekerjasama dengan PAS dan UMNO untuk menafikan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan menggagalkan inisiatif kerajaan PH untuk mengembalikan status asal Sabah dan Sarawak semasa pembentukan Malaysia.

"Mengapa GPS berbuat demikian, sebabnya hanya diketahui oleh mereka sendiri tetap saya fikir ramai pemerhati dalam politik tahu bahawa jika GPS menerima pindaan itu, mereka akan kehilangan modal politik untuk mereka pada pilihan raya negeri akan datang.

"Sementara itu, beliau berkata sebelum ini di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN), hanya ada seorang menteri bagi undang-undang iaitu Datuk Seri Nancy Shukri, yang ditugaskan untuk membincangkan kedudukan Sabah dan Sarawak.

Artikel Berkaitan:

"Selepas beberapa bulan, beliau digantikan oleh Datuk Seri Azalina Othman Said. Oleh kerana (Azalina) menjadi menteri undang-undang, jawatankuasa itu tiba-tiba terhenti dan tidak melakukan apa-apa lagi.

"Tetapi hari ini, jawatankuasa kabinet ini diketuai oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menunjukkan kesungguhan dan keikhlasan Kerajaan PH bagi mengembalikan hak Sabah dan Sarawak di bawah MA63," katanya. -Bernama