Nahas Elmina: Oyen cetus prihatin haiwan

Nasib Oyen telah dikongsi seorang doktor veterinar di Instagram miliknya dengan memuat naik beberapa foto dan video beliau merawat kucing tersebut.
Nasib Oyen telah dikongsi seorang doktor veterinar di Instagram miliknya dengan memuat naik beberapa foto dan video beliau merawat kucing tersebut.
A
A
A

NAHAS jet peribadi terhempas berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam pada Khamis lalu, mengundang hiba seluruh rakyat Malaysia.

Tragedi pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) kira-kira jam 2.40 petang itu mengorbankan 10 mangsa.

Mereka ialah dua juruterbang, Shahrul Kamal Roslan, 41, dan Heikal Aras Abdul Azim, 43.

Enam penumpang pula ialah Exco kerajaan negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun, 53, Kharil Azwan Jamaludin, 43, Shaharul Amir Omar, 49, Mohamad Naim Fawwaz Mohamed Muaidi, 35, Muhammad Taufiq Mohd Zaki, 38, dan Idris Abdol Talib @ Ramali, 41.

Dua lagi ialah pemandu kereta, Sharipuddin Shaari, 53, dan penunggang motosikal, Muhamad Hafiz Muhammad Salleh, 32, yang kebetulan lalu di lokasi nahas

Seekor kucing jantan berbulu oren dipanggil Oyen turut menjadi mangsa. Oyen menghadapi kecederaan serius pada bahagian kiri badan dengan kulit terkoyak lebih kurang 14 sentimeter bermula daripada bahagian rusuk hingga ke bawah badannya, sementara kaki kanan depannya terseliuh ketika ditemui pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Nasib haiwan berkenaan telah dikongsi seorang doktor veterinar di Instagram miliknya dengan memuat naik beberapa foto dan video beliau merawat kucing tersebut.

Melalui hantarannya, Zul Erwan berkata, Oyen berada di kawasan kejadian semasa pesawat tersebut terhempas. Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan KKM kerana menyelamatkan Oyen dan membawanya untuk rawatan dengan menaiki ambulans.

Artikel Berkaitan:

Kata Zul Erwan, Oyen kini mendapat rawatan di sebuah klinik veterinar di Sungai Buloh, Selangor dalam keadaan stabil, manakala luka pada bahagian perutnya masih dalam pemantauan. Difahamkan, si comel itu kini telah memiliki tuan baharu iaitu kakitangan KKM yang menemuinya.

Langkah positif dan keprihatinan insan-insan berkenaan harus dipuji. Empati dan simpati tidak terhad kepada manusia, malah kepada haiwan di sekitar.

Syabas buat kakitangan KKM yang bertindak pantas menghantar Oyen untuk dirawat dan Zul Erwan yang merawatnya. Ia wajar dicontohi.

Kucing adalah peliharaan kegemaran ramai, lantaran sifatnya yang manja dan keletah. Bulunya gebu dan lembut membuatkan ia seronok dipeluk.

Kecomelan si meow membuatkan ramai tertawan dan jatuh sayang. Justeru, tidak hairanlah kucing merupakan haiwan peliharaan kedua paling digemari di dunia selepas anjing.

Public Heatlh Malaysia mendedahkan kajian dilakukan ke atas lebih 4,000 individu dalam tempoh 10 tahun menemukan pemilik kucing mempunyai 30 peratus risiko lebih rendah untuk mendapat penyakit jantung dan strok berbanding individu tidak membela kucing.

Penjelasan di sebalik penemuan kajian tersebut adalah berkaitan dengan pengurangan gejala stres dan kebimbangan serta tekanan darah yang terkawal.

‘Mereka’ seolah-olah dapat membaca perasaan kita. Bercerita dengan makhluk comel tersebut boleh memberikan ketenangan, meningkatkan kesihatan mental dan emosi.

Merujuk kajian yang dilakukan Qureshi, Adnan bertajuk Cat ownership and the Risk of Fatal Cardiovascular Diseases dalam Journal of Vascular And Interventional Neurology, individu yang membela kucing juga kurang sunyi atau rasa keseorangan dan mempunyai mood lebih baik.

Dari sudut Islam, membela kucing adalah harus, berlaku ihsan kepadanya adalah wajib, namun menyakiti atau menzalimi haiwan tersebut adalah haram.

Ayuh! Sama-samalah kita menghulurkan bantuan apabila menemui haiwan yang tercedera atau membantu sukarelawan yang telah mengambil inisiatif membuka tempat perlindungan bagi menyelamatkan haiwan jalanan ini.

Tidak lupa buat pencinta kucing perseorangan yang sanggup membela haiwan tersebut dengan menanggung segala kos.

Penulis teringat kisah seorang saudara yang sanggup menjadikan rumahnya sebagai istana buat lapan ekor kucing gelandangan. Segalanya mudah apabila setiap ahli keluarga rela hati menghulurkan wang untuk menampung kos makanan, selenggaraan dan perubatan.

Moga kisah menyayat hati Oyen menyemai perasaan mengasihi binatang kepada setiap lapisan masyarakat. Hanya ALLAH sahaja yang mampu membalas kebaikan telah dilakukan dengan rezeki yang melimpah dan kebahagiaan abadi.

* Azma Mohd Lazim ialah wartawan digital SinarPlus, Sinar Harian