Peluang cerah graduan TVET mendepani IR 4.0

Sivakumar berbual bersama peserta yang hadir sempena Hari Bertemu Pelanggan Peringkat Zon Pantai Timur dan Majlis Dialog Bersama Menteri dengan pihak Industri, di ILP Kuala Terengganu di Gong Badak, Kuala Nerus.
Sivakumar berbual bersama peserta yang hadir sempena Hari Bertemu Pelanggan Peringkat Zon Pantai Timur dan Majlis Dialog Bersama Menteri dengan pihak Industri, di ILP Kuala Terengganu di Gong Badak, Kuala Nerus.
A
A
A

KUALA NERUS - Graduan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) mempunyai peluang cerah dalam mendepani era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) selari dengan keperluan industri dan pasaran kerja.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, lapangan program itu termasuk dalam empat kelompok pekerjaan yang akan menyaksikan pertumbuhan stabil dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menurutnya, laporan Future of Jobs Report 2023 yang baharu diterbitkan oleh World Economic Forum bulan ini berhubung kehilangan 89 juta pekerjaan serta pertambahan 69 juta pekerjaan dalam tempoh lima tahun akan datang perlu diberi perhatian.

"Empat kelompok pekerjaan yang akan menyaksikan pertumbuhan yang stabil adalah dalam lapangan yang mempunyai kaitan langsung dengan TVET.

"Misalnya, operator atau pengendali mesin dan teknologi, penganalisis teknologi Kecerdasan Buatan (AI) yang dijangka akan tumbuh sehingga 40 peratus serta pengajar atau pelatih vokasional," katanya dalam ucapan ketika merasmikan Hari Bertemu Pelanggan Peringkat Zon Pantai Timur dan Majlis Dialog Bersama Menteri dengan pihak Industri, di sini pada Isnin.

Sehubungan itu, beliau berkata, 41 peratus daripada tenaga kerja dalam pasaran pada 2023 perlu dilatih semula atau ditingkatkan kemahirannya menjelang 2027 bagi memastikan padanan dan penawaran dalam sektor berkaitan setimpal dengan tahap kemahiran graduan.

"Program pendidikan TVET dalam negara kita belum mencapai tahap yang optimum dan masih banyak inovasi perlu ditambah baik.

Sivakumar (tengah) bersama penggiat industri dan peserta.
Sivakumar (tengah) bersama penggiat industri dan peserta.

"Usaha mengembang dan memperkasa program TVET adalah keutamaan pihak kementerian dan saya secara peribadi sangat menyokong peranan dan sumbangan penting pihak industri untuk bersama-sama menambah baik agenda TVET negara,"katanya.

Beliau memberitahu, masih ada beberapa isu yang perlu ditangani antaranya melibatkan kurangnya minat golongan muda menyertai TVET, fenomena underemployment atau bayaran serta kualiti kerja yang tidak setimpal dengan kelayakan.

"Kita yakin isu ini boleh ditangani serentak melalui penglibatan pihak industri secara lebih rapat dan sistematik dalam ekosistem TVET dan

secara tidak langsung menarik minat anak muda untuk menyertai program-program TVET.

"Ia sekali gus melonjak nilai graduan TVET dan melayakkan mereka untuk menerima gaji yang lebih premium serta berpatutan," ujar beliau.

Dalam pada itu, Sivakumar berkata, semua pemain industri perlu bekerjasama dengan Institusi Latihan Kemahiran (ILK) di bawah kementerian.

"KSM (Kementerian Sumber Manysia) melalui Jabatan Tenaga Manusia (JTM) iaitu Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) di seluruh negara adalah nadi penggerak TVET yang menjadi akar umbi kepada sumber tenaga kerja mahir negara.

"Kementerian mahu menjadikan Institut Latihan Perindustrian (ILP) sebagai destinasi utama pengajian peringkat diploma.

"Pemegang sijil-sijil kemahiran dari mana-mana ILP akan diberikan laluan mudah untuk memasuki ADTEC di seluruh negara bagi mengikuti program diploma," ujar beliau.

Beliau berkata, KSM melalui Jabatan Tenaga Manusia (JTM) akan membangunkan lebih banyak kursus jangka pendek untuk ditawarkan kepada belia dan pekerja industri yang memerlukan kemahiran TVET, kemahiran semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling).

"Kita harap inisiatif berpusat Sistem Pengurusan Integrasi Kemahiran Malaysia (MySPIKE), Penarafan Tunggal, Skim Latihan Dual Nasional (SLDN) dan Sistem Latihan Program Bertauliah (SLAPB) akan merancakkan lagi kualiti keluaran tenaga mahir negara.

"Ini bermakna, program skilling, reskilling dan upskilling tidak boleh dielak dan harus menjadi antara pelaburan terbesar pihak industri," katanya.