Lima beranak disamun empat penjenayah bersenjatakan parang

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JEMPOL - Seorang peneroka Felda berdepan detik mencemaskan apabila lehernya diacu parang selepas kediamannya di Felda Palong 6 di sini, diceroboh empat penjenayah pada awal pagi Sabtu.

Dalam kejadian antara jam 4.15 pagi hingga 5.25 pagi itu, pasangan suami isteri warga emas berusia 65 tahun bersama tiga anak mereka berusia 22 hingga 26 tahun sedang tidur.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, isteri mangsa yang mengalami masalah kesihatan dan tidak boleh berjalan juga diugut bunuh sekiranya menjerit.

"Berdasarkan daripada percakapan suspek, mangsa menyatakan seperti orang Indonesia dan terdapat bau minyak wangi yang kuat. Suspek dipercayai berusia 30 hingga 40-an, bersenjatakan parang masuk ke dalam rumah melalui pintu belakang yang tidak berkunci.

"Kesemua suspek yang memakai topeng pergi ke bilik tidur mangsa sambil mengacukan parang dan mangsa yang terkejut mendiamkan diri," katanya.

Chang Hook berkata, suspek kemudian bertindak mengikat warga emas itu menggunakan kabel telefon serta kain selimut, namun isterinya yang tidak sihat tidak diikat dan dijaga oleh seorang suspek lain.

"Suspek telah menggeledah bilik mangsa dan mengambil wang tunai RM700, telefon bimbit selain barang kemas iaitu rantai dan cincin emas.

"Tidak lama selepas itu, suspek membawa keluar tiga lagi mangsa iaitu anak kepada warga emas yang tidur dalam bilik berasingan dan mengumpulkan mereka dalam satu bilik serta mengikat mangsa menggunakan kain dan kabel pengecas telefon," katanya.

Artikel Berkaitan:

Chang Hook berkata, susulan kejadian itu mangsa mengalami kerugian dianggarkan RM20,000 termasuk dua buah motosikal jenis Honda EX5 dan Yamaha Y15.

"Polis masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan," katanya.