Kerajaan kaji kurangkan import gula

Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam memberi penerangan kepada Armizan (kiri) semasa melawat gerai jualan di pekarangan Stadium Tertutup Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Pasir Gudang pada Sabtu.
Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam memberi penerangan kepada Armizan (kiri) semasa melawat gerai jualan di pekarangan Stadium Tertutup Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Pasir Gudang pada Sabtu.
A
A
A

PASIR GUDANG - Kerajaan sedang mengkaji langkah terbaik bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap import gula mentah yang kini 100 peratus bekalannya dari Brazil.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu adalah sebagai persediaan sekiranya Brazil tidak dapat membekalkan bahan mentah tersebut pada masa depan.

"Kita sudah mengimport gula 100 peratus dari Brazil sejak awal tahun ini dan kita bimbang sekiranya berlaku apa-apa seperti bencana alam di Brazil kerana hanya bergantung kepada mereka. Kita khuatir faktor geopolitik global akan pengaruhi bekalan dalam negara.

"Sebelum ini kita juga import dari India dan Thailand. Namun disebabkan beberapa faktor tersendiri dua negara itu membuat keputusan untuk tempoh sementara atau panjang menghentikan eksport gula," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Jelajah Jualan Rahmah Peringkat Negeri Johor Tahun 2023 di pekarangan Stadium Tertutup Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Exco Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Lee Ting Han dan Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo.

Katanya, Malaysia perlukan persediaan menghasilkan sendiri bekalan bahan mentah itu walaupun tidak mencapai tahap sara diri (SSL) sepenuhnya selain memikirkan penyelesaian untuk tempoh masa panjang.

Menurut Armizan, tindakan mengimport gula mentah sepenuhnya dari negara luar dibuat kerana kos diperlukan adalah lebih rendah berbanding sekiranya produk itu dikeluarkan secara tempatan.

Artikel Berkaitan:

"Namun faktor itu perlu dikaji semula, kerana kita perlu fikirkan keperluan asas negara untuk tempoh jangka masa panjang. Jadi walaupun kosnya lebih tinggi sekiranya dihasilkan tempatan, tetapi kita perlu berbelanja lebih sedikit dalam aspek ini," ujarnya.

Mengenai program tersebut, Armizan memberitahu, inisiatif yang telah dijalankan di 1,229 lokasi seluruh negara tersebut telah dimanfaatkan seramai 2.1 juta pengguna.

"Jumlah ini direkodkan sejak Januari tahun ini hingga 31 Julai lalu dan di Johor sahaja program ini telah memanfaatkan seramai 611,790 penggunaan," jelas beliau.