Fahmi fokus enam perkara utama

Fahmi
Fahmi
A
A
A

GEORGETOWN - Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol akan memberi tumpuan kepada enam perkara utama dalam masa terdekat ini.

Fahmi berkata, antara yang akan dilaksanakan adalah pelaburan dalam teknologi bagi memenuhi pengeluaran makanan yang mencukupi untuk rakyat Pulau Pinang.

Menurutnya, selain itu, tumpuannya juga akan terarah kepada pelaburan dalam agrotek untuk keterjaminan makanan.

"Memandangkan kedudukan Pulau Pinang yang strategik iaitu ada laut, tanah yang baik di kawasan seberang, maka saya akan memberi tumpuan kepada bidang pelaburan dalam agrotek demi keterjaminan makanan.

"Saya juga akan memfokuskan kepada peningkatan kemahiran dalam kalangan pemain agrotek. Dalam pada itu, saya juga akan memperkasakan 'vertical farming' dan 'aquaculture' yang mana, ia bersesuaian dengan Pulau Pinang," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Beliau menambah, sektor koperasi juga akan diperingkatkan dengan mewujudkan hubungan yang lebih baik dengan badan-badan koperasi yang sudah berjaya seperti Co-op Bank Pertama.

"Kita juga akan memperkukuhkan hubungan dengan Agro Bank agar pemain industri boleh terlibat dengan skala yang lebih besar.

"Saya juga akan berusaha untuk menarik minat golongan muda bagi menceburi diri dalam teknologi pertanian untuk menjadi 'tech-ready farmers'," katanya.

Artikel Berkaitan:

Fahmi yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Permatang Pauh dilantik menjadi Exco Kerajaan Pulau Pinang bagi menggantikan Dr Norlela Ariffin selepas memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Jerejak dalam pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini.

Fahmi menewaskan tiga calon iaitu Ravinder Singh dari Parti Rakyat Malaysia, Oh Teong Keong (Gerakan) dan Priyankaa Loh Xiang Pin (Muda).