Perak hadkan bekalan ayam, telur

Sivanesan ketika ditemui pada sidang media hari ini.
Sivanesan ketika ditemui pada sidang media hari ini.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak akan mengehadkan pasaran ayam daging dan telur ke negeri-negeri lain sekiranya berlaku masalah bekalan tidak mencukupi menjelang musim perayaan ini.

Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia, A Sivanesan berkata, langkah itu bagi memastikan pengguna di negeri ini tidak berdepan sebarang masalah bekalan.

"Berdasarkan laporan sebelum ini, tiada masalah bekalan ayam daging sama ada sepanjang Ramadan mahupun musim perayaan berlaku, namun dengan situasi Perak antara pengeluar ayam daging terbesar di Malaysia, sudah pasti berlaku permintaan tinggi dari negeri-negeri lain.

“Langkah pertama kita akan ambil adalah mengesyorkan pembekal mengutamakan bekalan dalam negeri terlebih dahulu dengan mengurangkan eksport ke negeri lain," katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, satu perbincangan bersama persatuan-persatuan penternak ayam akan dibuat bagi memastikan semua keperluan pasaran ayam daging dan telur itu mencukupi.

Pihaknya tidak mahu ada kalangan pembekal mengambil kesempatan menaikkan harga hanya kerana permintaan tinggi berbanding bekalan.

"Mungkin ada antara mereka yang sudah membuat perjanjian (bekalan), tetapi mereka perlu dimaklumkan mengenai situasi semasa agar tidak timbul sebarang masalah, paling penting kita mahu pastikan mereka mempunyai bekalan yang cukup," katanya.

Di Perak terdapat lebih 100 penternak ayam daging yang kebanyakannya berpusat di Manjung.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Sivanesan berkata, Jabatan Kesihatan mengadakan kawalan dan pemeriksaan setiap hari di semua 111 lokasi bazar Ramadan seluruh negeri.

Menurutnya, antara lain operasi itu bertujuan memberi kesedaran kepada peniaga dan pembeli akan kebersihan dalam pengendalian makanan.

"Setiap tahun kita terima laporan sakit perut, muntah dan cirit birit berlaku membabitkan pembelian makanan di bazar Ramadan, kita tidak mahu masalah ini terus berulang.

"Sebelum terjadinya kes sedemikian, ada baiknya kita turun padang dan memberi maklum balas secara terus kepada peniaga dan pembeli," katanya.