Skuad muda Malaysian Tigers asah taring di Eropah

Skuad muda Malaysia Tigers akan berangkat ke Eropah malam ini untuk menjalani siri aksi persahabatan. - Foto Facebook MHC
Skuad muda Malaysia Tigers akan berangkat ke Eropah malam ini untuk menjalani siri aksi persahabatan. - Foto Facebook MHC
A
A
A

SKUAD hoki remaja negara akan 'terbang' ke Eropah dalam siri jelajah aksi persahabatan bagi mengasah taring menjelang Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023 di Kuala Lumpur pada Disember depan.

Mereka akan menjalani enam perlawanan persahabatan menentang pasukan remaja kebangsaan Jerman, Perancis serta Great Britain sepanjang berada di benua Eropah.

Jurulatih skuad muda Malaysian Tigers, Muhamad Amin Rahim memberitahu, pemilihan skuad bagi mengikuti siri jelajah itu adalah berdasarkan prestasi yang ditunjukkan oleh pemain sepanjang latihan yang dilalui selepas pulang daripada Kejohanan Piala Remaja Asia di Salalah, Oman.

“Tujuan utama siri jelajah ini adalah bagi membantu pemain bersiap sedia untuk menghadapi kejohanan penting hujung tahun ini. Barisan kejurulatihan juga ingin melihat kombinasi para pemain beraksi dengan pasukan di Eropah.

“Kami juga akan melihat bagaimana para pemain membuat keputusan pantas ketika beraksi menentang lawan dari pasukan Eropah. Kami juga akan menerapkan beberapa taktikal baharu, jadi ini medan terbaik untuk menguji taktikal tersebut selain melihat bagaimana pemain boleh mengadaptasinya.

“Pasukan telah menghabiskan lapan minggu fasa latihan fizikal dan tentunya siri persahabatan ini kami akan gunakan untuk menilai sejauh mana tahap prestasi pemain ketika ini," katanya.

Seramai 22 pemain dibawa bagi mengikuti siri jelajah itu dengan aksi persahabatan pertama akan bermula pada 24 Ogos.

Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur bermula 5 hingga 16 Disember depan.

Artikel Berkaitan:

Muhamad Amin juga menaruh harapan agar para pemain dapat menggunakan peluang yang diberikan itu untuk beraksi menentang pasukan Eropah dengan sebaik mungkin.

“Saya juga berharap keyakinan para pemain akan semakin meningkat selepas beraksi dalam perlawanan yang diaturkan untuk mereka.

“Ini penting agar pemain mempunyai tahap keyakinan yang tinggi untuk beraksi dengan mana-mana pasukan sama ada Asia atau Eropah terutamanya menjelang dua kejohanan besar yang mendatang iaitu Kejohanan Piala Sultan Johor 2023 dan Hoki Piala Dunia Remaja 2023 di Kuala Lumpur,” katanya.