Skuad hoki dalam dewan lelaki selangkah pertahankan emas

Skuad hoki dalam dewan lelaki membenam Thailand 5-3 pada aksi keempat round robin yang berlangsung di Dinosaur Park Hall, Chroy Changvar. - Foto Majlis Sukan Negara Malaysia
Skuad hoki dalam dewan lelaki membenam Thailand 5-3 pada aksi keempat round robin yang berlangsung di Dinosaur Park Hall, Chroy Changvar. - Foto Majlis Sukan Negara Malaysia
A
A
A

SKUAD hoki dalam dewan lelaki negara hanya selangkah lagi untuk mempertahankan pingat emas pada Sukan SEA 2023 selepas mengesahkan tempat ke final pada Khamis.

Anak buah Mohd Hanip Che Halim itu menempah slot ke perlawanan akhir selepas membenam Thailand 5-3 pada aksi keempat round robin yang berlangsung di Dinosaur Park Hall, Chroy Changvar, petang tadi.

Kemenangan dilakar ke atas Thailand itu juga menyaksikan skuad negara terus cemerlang dengan rekod tanpa kalah pada temasya kali ini selepas menewaskan Kemboja 10-1, Filipina 19-0 dan Singapura 5-0.

Pasukan kebangsaan akan melengkapkan aksi round robin itu menentang Indonesia pada Sabtu ini, sebelum turun beraksi berdepan lawan yang sama di pentas final pada Ahad.

Pada aksi yang berlangsung hari ini, Thailand terlebih dahulu berada di hadapan menerusi jaringan padang Suyaram Anuson pada minit kelapan, sebelum Faridzul Afiq Mohd menyamakan kedudukan tiga minit kemudian.

Jaringan penyamaan itu terus menyuntik semangat pemain negara apabila menambah tiga lagi jaringan menerusi Muhamad Izham Azhar pada minit ke-12, Razali Mohd Hazemi (minit ke-19) dan Muhammad Firdaus Omar (minit ke-26).

Thailand kemudian merapatkan kedudukan menerusi dua jaringan A-Nukoon Warawut pada minit ke-33 dan ke-34 sebelum Faridzul Afiq menoktahkan kemenangan Malaysia pada minit ke-38.

Sementara itu, Mohd Hanip memuji barisan pemainnya yang mempamerkan permainan lebih mantap berbanding ketika bertemu Singapura, semalam.

“Setiap peluang disempurnakan dengan begitu baik serta corak permainan hari ini lebih kemas.

“Pada suku terakhir kita agak leka sedikit dari segi bertahan dan Thailand mengambil peluang tersebut. Di mana setiap 'foul' perlu cepat berada dalam kedudukan tetapi sedikit leka dan menyebabkan kita melepaskan gol,”katanya.

Mengenai perlawanan round robin berdepan Indonesia pada Sabtu ini, beliau berkata pasukan negara akan tetap membuat persediaan rapi walaupun kedua-dua akan bertemu sekali lagi di pentas final, sehari kemudian.

Indonesia menghuni tangga kedua setelah berkongsi 12 mata dengan Malaysia, namun dibezakan dengan jaringan.

Mengikut format pertandingan, dua pasukan teratas dalam pusingan round robin akan berentap untuk merebut pingat emas, manakala pasukan di tempat ketiga dan keempat akan berkongsi pingat gangsa.

Sebagai rekod, skuad hoki dalam dewan lelaki negara meraih pingat emas pada edisi 2019 di Filipina selepas menumpaskan Thailand 3-1 pada perlawanan akhir. Pada edisi ke-31 di Hanoi, Vietnam tahun lepas, acara berkenaan tidak dipertandingkan.

Sementara itu, pasukan hoki dalam dewan wanita negara turut cemerlang pada aksi hari ini, apabila membenam tuan rumah, Kemboja 4-0.

Gol pasukan negara dijaringkan Fazilla Sylvester Silin pada minit keenam, Iren Hussin (minit ke-25), Nur Atira Mohamad Ismail (minit ke-28) dan Qasidah Najwa Muhammad Halimi (minit ke-30).

Pasukan negara yang menghuni tangga kedua di belakang Thailand, dengan masing-masing mengumpul 10 mata, perlu sekurang-kurangnya seri apabila bertemu Indonesia (sembilan mata) pada perlawanan akhir pusingan round robin, Sabtu ini untuk menempah tempat ke pentas final. - Bernama