'Ya ALLAH, nak menangis rasa...' - Syahir

MOHAMMAD SYAHIR
MOHAMMAD SYAHIR
A
A
A

TEKONG sepak takraw negara, Mohammad Syahir Mohd Rosdi meluahkan perasaanya apabila ganjaran bagi pingat emas berpasukan yang dinanti-nantikan selama 36 tahun pada Sukan Asia menerima nilai insentif jauh berbeza berbanding kejayaan dalam acara individu.

Menerusi perkongsian di media sosial, Syahir mengakui terpaksa menelan hakikat apabila skuad sepak takraw negara menerima insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) sebanyak RM15,000 seorang bagi kejayaan meraih pingat emas berpasukan.

"Ya ALLAH, nak menangis rasa tapi sebagai atlet terpaksa telan. Penantian emas Sukan Asia berpasukan 36 tahun mendapat RM15,000 seorang daripada penyerahan insentif SHAKAM.

"Manakala untuk emas sukan individu RM80,000 seorang. Pengorbanan dan tekanan yang sama dihadapi. Pingat emas yang diraih juga sama untuk dibanggakan," katanya.

Bagaimanapun, Syahir menegaskan perkara itu tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus memberikan komitmen terbaik demi meningkatkan prestasi sepak takraw negara.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) atas sokongan berterusan yang diberikan kepada pemain sama ada di dalam mahupun luar gelanggang.

Syahir juga tidak melupakan pengorbanan rakan sepasukan yang bersama-sama mencurahkan tenaga, masa dan keringat bagi merealisasikan impian membawa pulang pingat emas berkenaan.

"Walau apa pun yang terjadi, kami sebagai pemain sepak takraw Malaysia akan terus berusaha menjaga nama baik sukan ini dan meningkatkan prestasi dari semasa ke semasa.

"Tiada apa yang dapat menghalang kami daripada terus berusaha menaikkan martabat sukan sepak takraw di Malaysia. Keranamu Malaysia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!