Naik ranking lonjak semangat Malaysian Tigers

Speedy Tigers yakin mampu cipta sejarah di Sukan Asia.
Speedy Tigers yakin mampu cipta sejarah di Sukan Asia.
A
A
A

KEPUTUSAN positif diraih skuad hoki negara pada Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) menyaksikan ranking Malaysian Tigers naik satu anak tangga ke kedudukan kesembilan dunia.

Pengendali skuad negara, Arul Selvaraj percaya peningkatan ranking itu serta keputusan muncul naib juara ACT menjadi penyuntik semangat kepada pasukan itu tampil lebih baik di Sukan Asia Hangzhou 2022, China bulan depan.

“Setibanya di India (kejohanan ACT) kita berada di ranking ke-10 dunia. Tetapi selepas tamat kejohanan ini dan mengumpul mata yang cukup, kita sudah melonjak ke tempat kesembilan.

“Kita telah memintas pasukan Korea Selatan dan ini adalah satu perangsang untuk kita buat lebih baik apabila ke Sukan Asia nanti,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Impian skuad hoki negara untuk meraih kejuaraan ACT kali ini tidak kesampaian apabila ditundukkan pasukan di ranking ketiga dunia India, 3-4 dalam aksi final di Chennai, India pada Sabtu.

Namun, pencapaian itu boleh dibanggakan apabila ia merupakan pencapaian terbaik skuad negara sejak ACT diperkenalkan pada 2011.

Sebagai rekod, Malaysian Tigers hanya berjaya menghuni tempat ketiga pada edisi 2011, 2012, 2013, 2016 dan 2018.

Dalam pada itu, Arul percaya para pemainnya mampu meraih emas di Hangzhou sekiranya terus konsisten menambah baik kualiti permainan.

Artikel Berkaitan:

“Menentang India menunjukkan kemampuan kita. Tetapi, bagi saya, kita lebih baik daripada India dalam beberapa aspek seperti tersusun di padang, posisi dan permainan secara berpasukan,” katanya.

Pada Hangzhou 2022, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Korea Selatan, China, Oman, Thailand dan Indonesia,

Sementara itu, India pula dalam Kumpulan A bersama Jepun, Pakistan, Bangladesh, Singapura dan Uzbekistan.

Hanya dua pasukan teratas kumpulan akan layak ke separuh akhir. Pencapaian terbaik Malaysia di Sukan Asia ialah pingat perak di edisi Guangzhou 2010 dan Jakarta-Palembang 2018.