Ketua Pemuda Amanah lepas tanpa bebas kes bantah harga barang

Mohd Hasbie
Mohd Hasbie
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd Hasbie Muda dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, berhubung perhimpunan membantah kenaikan harga barang di ibu negara, Julai tahun lalu.

Peguam, Faiz Fadzil yang mewakili Ahli Jawatankuasa Amanah itu berkata, ia susulan pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan berkenaan selepas menerima representasi yang dihantar oleh pihak Mohd Hasbie pada 17 Mac lalu.

Beliau berkata, Amanah mengadakan perhimpunan aman bagi memperjuangkan isu kos sara hidup, pada 1 Julai 2022.

“Keputusan ini adalah satu permulaan positif Kerajaan Madani yang menghormati hak dan kebebasan sivil untuk berhimpun dan menyatakan pandangan sepertimana dinyatakan dalam Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan.

"Perjuangan Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyelesaikan isu kos sara hidup rakyat ini dilihat benar-benar telus kerana AGC (Jabatan Peguam Negara), tidak lagi menganggap perhimpunan aman sebagai menyalahi undang-undang," katanya.

Pihak pendakwaan ketika ditemui, turut mengesahkan Mohd Hasbie dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan itu.

Sebelum ini, Himpunan Bantah Kenaikan Harga Barang yang rata-ratanya dikendalikan oleh pemimpin Amanah mengemukakan tiga tuntutan kepada kerajaan dalam isu menangani kenaikan harga barang.

Tuntutan tersebut ialah mengembalikan semula subsidi makanan, menghapuskan permit import (AP) bekalan makanan import dan memanggil sidang khas Parlimen untuk membincangkan masalah bekalan makanan.

Pada 18 Ogos 22, Sinar Harian melaporkan, tiga individu termasuk Mohd Hasbie dihadapkan ke tiga Mahkamah Majistret di sini berhubung perhimpunan membantah kenaikan harga barang di ibu negara.

Mohd Hasbie, 36; Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Batu, Muhammad Sabda Suluh Lestari Yahya, 34, dan Presiden Kesatuan Pelajar sebuah universiti awam, Muhammad Aliff Naif Mohd Fizam, 25, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia, Aina Azahra Arifin dan S Mageswary.