ADUN Terengganu diminta jangan berat sebelah, berani bersuara

Tengku Ibrahim (gambar kecil) berkata, walaupun ADUN Terengganu daripada gabungan parti politik yang sama, mereka mesti berani menyuarakan pandangan demi kesejahteraan rakyat.
Tengku Ibrahim (gambar kecil) berkata, walaupun ADUN Terengganu daripada gabungan parti politik yang sama, mereka mesti berani menyuarakan pandangan demi kesejahteraan rakyat.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu daripada Perikatan Nasional (PN) tidak boleh bersikap berat sebelah jika terdapat cacat cela pada pentadbiran kerajaan negeri memandangkan tiada wakil pembangkang dalam dewan legislatif negeri itu.

Veteran politik, Tengku Sri Paduka Raja Tengku Ibrahim Sultan Ismail Nasiruddin Shah berkata, walaupun ADUN tersebut daripada gabungan parti politik yang sama, mereka mesti berani menyuarakan pandangan demi kesejahteraan rakyat.

"Moleknya ada pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), namun apa yang berlaku kini sebaliknya dan macam mana nak berbahas dalam sidang DUN dengan baik sebab biasanya pembangkanglah yang bagi pendapat berhubung masalah rakyat.

"Bila tak ada pembangkang, kita takut suara rakyat tak sampai, tak boleh bagi pendapat,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Tengku Ibrahim yang pernah menjadi ADUN Tanggol (Hulu Terengganu) pada 1990 berkata, kesemua ADUN berkenaan tidak boleh menyebelahi pihak parti pemerintah semata-mata, sebaliknya perlu ikhlas dan jujur dalam menjalankan tanggungjawab.

Pada pilihan raya negeri Sabtu lepas, PN menyapu bersih semua 32 kerusi DUN Terengganu, yang dimenangi 27 calon Pas dan lima Bersatu, sekali gus menjadikan DUN Terengganu buat pertama kali tanpa pembangkang sejak kemerdekaan.

Dalam pada itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata BN akan tampil dengan strategi-strategi yang efektif dalam menyuarakan isu-isu rakyat di negeri itu meskipun tidak berada dalam sidang DUN.

"Sekarang kami dalam tempoh bertenang...sedang menilai dan mengkaji, Insya-Allah nanti kami akan maklumkan tindakan yang sesuai diambil," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: PRN: Pertama kali dalam sejarah, Terengganu tiada pembangkang

PN sapu bersih 32 kerusi DUN, satu Parlimen di Terengganu

PRN Terengganu: Ahmad Said, Ahmad Razif tumbang

PRN: Terengganu catat peratusan keluar mengundi tertinggi