Keputusan PRN tak gugat kestabilan kerajaan Perak - Saarani

Saarani (depan, kanan) membuat penyerahan Jalur Gemilang kepada peserta Program Jelajah Pengguna-Peniaga Merdeka di pekarangan Stadium Indera Mulia pada Rabu.
Saarani (depan, kanan) membuat penyerahan Jalur Gemilang kepada peserta Program Jelajah Pengguna-Peniaga Merdeka di pekarangan Stadium Indera Mulia pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Keputusan pilihan raya di enam negeri baru-baru ini tidak langsung memberi kesan terhadap kestabilan kerajaan Perak yang diterajui Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, keputusan pilihan raya negeri (PRN) itu juga hanya mengekalkan kemenangan sebelum ini melibatkan Pas yang mempertahankan Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala BN-PH kembali menerajui Selangor, Pulau Pinang serta Negeri Sembilan.

Menurutnya, keputusan itu tidak menjejaskan kestabilan sama ada di Perak, mahupun kerajaan Persekutuan kerana pembentukan kerajaan melibatkan entiti berbeza.

"Pembentukan kerajaan Perak oleh Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perak, jadi tak ada kena mengena dengan Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

"Saya nak beri jaminan bahawa kestabilan dan kekukuhan Kerajaan Perpaduan negeri ini terjamin. Tak ada tanda-tanda berlaku lompat sana sini dan kepada peniaga dan orang-orang yang nak melabur, saya nak beritahu bahawa Perak stabil," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Negeri Perak Siri 7 2023 di Stadium Indera Mulia di sini pada Rabu.

Saarani berkata, pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan semua ADUN BN yang menyatakan sokongan kepada kerajaan sedia ada dan satu pertemuan juga akan diadakan dengan semua ADUN kerajaan pada Khamis untuk membuktikan kerajaan negeri stabil.

Dalam pada itu, Saarani turut menegur Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria supaya menghentikan sebarang kenyataan tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan keyakinan pelabur ke Perak.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pembangkang seharusnya menerima keputusan pilihan raya sebelum ini dan memberikan ruang kepada kerajaan negeri pimpinan BN-PH mentadbir dan membangunkan negeri.

"Kalau ketua pembangkang (Razman) dan barisan pembangkang rasa sayangkan negeri ini, mereka kena akur bahawa ada empat tahun lagi. Bagi peluang kepada kami memerintah dan bila berlaku PRU (Pilihan Raya Umum) nanti, kalau menang jadi kerajaanlah.

"Untuk empat tahun ini, kalau betullah dia sayangkan negeri, sayangkan rakyat, tak bagi rakyat runsing, hentikanlah (keluarkan kenyataan). Ini cuma percubaan nakal Ketua Pembangkang Perak," katanya.

Pada 14 Ogos lalu, Razman dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Pas Perak bersedia menawarkan kerjasama dengan UMNO bagi merealisasikan perpaduan yang didominasi kuasa Melayu Islam di Perak susulan keputusan PRN di enam negeri baru-baru ini.