4 muka baharu termasuk ADUN Bersatu dilantik Exco Terengganu

Ahmad Samsuri bersama 10 Exco di Wisma Darul Iman pada Rabu.
Ahmad Samsuri bersama 10 Exco di Wisma Darul Iman pada Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Empat muka baharu termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilantik sebagai Exco yang memegang portfolio tertentu dalam kerajaan negeri Terengganu pada penggal ini.

Mereka ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepuh, Hishamuddin Abdul Karim, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi (Batu Buruk) dan Maliaman Kassim (Ajil).

Buat julung kalinya wakil Bersatu yang merupakan rakan Pas dalam Perikatan Nasional (PN) turut dilantik sebagai Exco iaitu Datuk Razali Idris dari DUN Kijal.

Hishamuddin menerajui portfolio Pembangunan Belia, Sukan dan badan bukan kerajaan (NGO), manakala Dr Muhammad Khalil memegang portfolio Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah.

Selain itu, Maliaman dilantik sebagai Exco untuk memegang portfolio Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional.

Razali pula memegang portfolio Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga ADUN Ru Rendang memegang portfolio Ekonomi, Kewangan, Pelaburan, Tanah dan Sumber Asli.

ADUN Paka, Datuk Satiful Bahari Mamat pula menerajui portfolio Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, portfolio Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berada di bawah tanggungjawab Wan Sukairi Wan Abdullah yang juga merupakan ADUN Wakaf Mempelam.

Ahmad Samsuri turut mengumumkan ADUN Jabi, Dr Azman Ibrahim menerajui portfolio Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi.

ADUN Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman dilantik memegang portfolio Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau manakala ADUN Chukai, Hanafiah Mat menerajui portfolio Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar.

Ketika mengumumkan senarai portfolio itu, Ahmad Samsuri berkata, semua barisan Exco yang dilantik dan diberi tanggungjawab dengan portfolio masing-masing perlu melaksanakan tugas dan tanggungjawab diamanahkan dengan segera secara baik.

"Kita lakukan penjenamaan baharu jawatankuasa Exco ini setelah mengambil kira pandangan daripada agensi selain melihat perubahan berlaku di peringkat kementerian di Putrajaya.

"Jadi untuk memudahkan gerak kerja di peringkat negeri selain mahu selarikan gerak kerja di peringkat kementerian supaya mereka (Exco) boleh berhubung dengan agensi masing-masing yang sesuai dengan tanggungjawab Exco maka kita lakukan penjenamaan nama jawatankuasa Exco tersebut," jelasnya.

Barisan 10 Exco Kerajaan Terengganu telah mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah di sini pada Selasa.