Kertas siasatan kes pukul remaja diserah kepada pendakwa raya

Tujuh pelajar yang mendapat perintah reman di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Selasa dibebaskan dengan ikat jamin pada Rabu.
Tujuh pelajar yang mendapat perintah reman di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Selasa dibebaskan dengan ikat jamin pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis akan menyerahkan kertas siasatan kes tujuh pelajar memukul seorang remaja lelaki di Taman Bistari Indah di sini kepada pihak pendakwa raya pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, siasatan sudah dilakukan terhadap semua suspek berusia 14 hingga 17 tahun itu selepas direman dua hari sejak Selasa.

"Mereka sudah dibebaskan dengan ikat jamin," katanya dalam satu kenyataan ringkas pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, pada 9 Ogos lalu, remaja lelaki berkenaan dipukul sekumpulan pelajar sekolah di kawasan rekreasi taman tersebut sehingga mengakibatkan kecederaan.

Remaja lelaki berkenaan ditendang, dipijak, disepak dan ditumbuk beberapa kali di bahagian depan dan belakang badan selain di bahagian perut, paha serta lengan kiri dan kanan.

Kejadian itu tular dalam media sosial dan motif kejadian tersebut berpunca daripada seorang suspek yang tidak berpuas hati mangsa berkawan dengan teman wanitanya.

Sementara itu, Exco Pendidikan Penerangan dan Komunikasi Johor, Norlizah Noh berkata, tujuh pelajar tersebut termasuk seorang daripadanya warga asing merupakan pelajar tingkatan dua sehingga lima.

Beliau memberitahu, semua pelajar terbabit adalah dari sebuah sekolah di Puteri Wangsa manakala seorang lagi dari sekolah di Ulu Tiram.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua sekolah tersebut akan mengambil tindakan mengikut garis panduan mencegah dan menangani perbuatan buli di sekolah," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan bekerjasama erat dengan pihak polis, sekolah dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dalam melaksanakan program pencegahan dalam usaha mencegah kes seumpama itu berulang.

"Saya juga ingin menyeru seluruh masyarakat khususnya ibu bapa supaya berganding bahu untuk menangani kes buli di kalangan pelajar sekolah kerana ibu bapa mempunyai peranan yang besar dalam memastikan anak-anak selamat dan tidak menjadi pelaku kepada perbuatan buli," katanya.



ARTIKEL BERKAITAN: Tujuh pelajar direman bantu siasatan kes pukul remaja lelaki