PDRM tewas di laman sendiri, NSFC naik tiga anak tangga

Pemain PDRM FC, Mohamad Nabil Ahmad Latpi (kiri) diasak pemain Negeri Sembilan FC, Tommy Mawat Bada pada saingan Liga Super Malaysia 2023 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya malam ini. - Foto Bernama
Pemain PDRM FC, Mohamad Nabil Ahmad Latpi (kiri) diasak pemain Negeri Sembilan FC, Tommy Mawat Bada pada saingan Liga Super Malaysia 2023 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

[DIKEMAS KINI] HASRAT PDRM FC untuk mencipta sensasi di laman sendiri tidak kesampaian apabila tewas 1-2 kepada Negeri Sembilan FC (NSFC) pada saingan Liga Super 2023 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini.

Rentak kecemerlangan yang diteruskan NSFC menyaksikan skuad K Devan itu mendaki tiga anak tangga untuk berada di kedudukan keenam dengan memperoleh 16 mata keseluruhan selepas 11 perlawanan.

Babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan beraksi seimbang, namun skuad Hobin Jang Hobin selaku pelawat terlebih dahulu membolosi gawang PDRM menerusi Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi pada minit ke-41 yang menerima hantaran cantik daripada Levy Clement Madinda.

Skuad anak didik Azzmi Ab Aziz beberapa kali mendapat peluang, namun buntu mencipta gol untuk menyamakan kedudukan.

Bersambung babak kedua, percaturan demi percaturan dilakukan jurulatih Sang Saka Biru termasuk menukar beberapa pemain membuahkan hasil apabila berjaya menyamakan kedudukan menerusi Muhammad Amirul Wa’ie Ya’cob pada minit terakhir perlawanan.

Jaringan terbabit bagaimanapun tidak mematahkan semangat NSFC apabila meledak jaringan emas pada minit kecederaan melalui pemain simpanan yang dibawa keluar A. Selvan dan keputusan kekal 1-2 sehingga wisel penamat ditiupkan.

Keputusan terbabit menjadikan PDRM turun satu anak tangga di kedudukan ke-10 dalam carta Liga Super musim ini.

Ahad lepas, NSFC kembali mendapatkan rentak kemenangan apabila menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. - Bernama