Pemuda diberkas rakam wanita buang air di tandas stesen minyak

Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki menuju ke arah tandas sebelum cuba melarikan diri dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Ulu Tiram, Johor Bahru pada 12 Ogos lalu.
Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki menuju ke arah tandas sebelum cuba melarikan diri dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Ulu Tiram, Johor Bahru pada 12 Ogos lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki tempatan dicekup kerana mengintai dan merakam perbuatan seorang wanita sedang buang air kecil dalam tandas di sebuah stesen minyak di Ulu Tiram di sini pada 12 Ogos lalu.

Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di stesen tersebut yang tular dalam media sosial memaparkan mangsa berumur 32 tahun masuk ke dalam tandas sementara suaminya menunggu di dalam kereta.

Kemudian suspek datang menaiki sebuah motosikal sebelum rakaman CCTV tersebut menunjukkan lelaki berkenaan turut ke tandas sebelum dipercayai melakukan perbuatan itu.

Tidak berapa lama selepas itu kelihatan suspek berlari ke arah motosikalnya dan cuba melarikan diri sambil wanita terbabit berjalan laju mengejar serta menjerit ke arahnya.

Suami wanita berkenaan dan orang awam di stesen minyak tersebut berjaya memberkas suspek sebelum lelaki berkenaan panik dan segera mengeluarkan telefon bimbit serta memadam rakaman yang diambil itu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya mengesan video kejadian berkenaan yang berdurasi 1 minit 15 saat tular dalam akaun Facebook inforoadblock.

Beliau berkata, video dalam Facebook itu dimuat naik dengan dakwaan lelaki gila seks rakam wanita buang air dalam tandas stesen minyak.

Artikel Berkaitan:

"Kejadian berlaku pada jam 8.30 pagi, 12 Ogos lalu dan polis menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 19 tahun di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan dan kes berkenaan telah dituduh di Mahkamah Majistret di sini pada Ahad.

Katanya, suspek didenda RM5,000 dan pada masa sama mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan perbuatan melanggar norma kehidupan dan undang-undang.