Kelantan laksana penarafan semua masjid

Ahli Jawatankuasa Masjid Muhammadi menerima wang tunai RM10,000 selepas diiktiraf mendapat lima bintang sempena penarafan masjid.
Ahli Jawatankuasa Masjid Muhammadi menerima wang tunai RM10,000 selepas diiktiraf mendapat lima bintang sempena penarafan masjid.
A
A
A

KOTA BHARU - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) melaksanakan penarafan kepada semua 611 masjid di negeri.

Melalui jumlah itu, lima masjid diiktiraf sebagai lima bintang iaitu Masjid Muhammadi, Kota Bharu; Masjid Ismail Petra, Tanah Merah; Masjid Mukim Pangkal Melerek, Machang; Masjid Mukim Pauh Sembilan, Bachok dan Masjid Mukim Banggol, Kota Bharu.

Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, Kelantan menjadi negeri pertama melaksanakan penarafan melibatkan semua masjid.

Menurut beliau, penarafan bermula awal tahun ini mengguna pakai modul Standard Penarafan Masjid Malaysia (SPMM) yang diperkenalkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Pelaksanaannya dibantu oleh Pensyarah Kanan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) yang juga sebagai penggubal modul standard penarafan masjid Malaysia.

"Penilaian dan audit dilaksanakan dalam tempoh empat bulan berakhir Mei lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Yang Berhormat Mulia Tengku Yang Dipertua Bersama Pegawai Masjid Negeri Kelantan 2023 di sini pada Selasa.

Selain itu, beliau turut mengumumkan pindaan ke atas Kaedah Pelantikan Kuasa dan Kewajipan Pegawai Masjid Mukim 1997.

Artikel Berkaitan:

"Selaras pindaan itu, cuti rehat tahunan pegawai masjid dinaikkan daripada sepuluh hari kepada 20 hari setahun selain kenaikan ganjaran penamatan perkhidmatan kepada pegawai masjid.

"Kadar yang ditetapkan ialah RM400 kepada RM1,000 setahun untuk imam tua.

"Imam muda pula daripada RM350 kepada RM800 manakala bilal pula daripada RM300 kepada RM600 setahun," katanya.

Pada majlis sama turut diadakan pelancaran Buku Tatacara Pengurusan Kewangan Masjid Negeri Kelantan.

Sejajar dengan itu, kursus pengurusan kewangan dan integriti dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara cawangan Kelantan, khususnya Fakulti Perakaunan telah dilaksanakan di beberapa buah jajahan dan akan diteruskan.