Rahsia alam rujukan manusia

A
A
A

BARANGKALI ada yang masih ingat insiden 1983 berlaku di Johor dan Perak. Pada tahun itu, dua negeri ini berpuasa lebih awal, tidak sama dengan pengumuman kerajaan Pusat.

Peristiwa tersebut sedikit sebanyak telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam di Malaysia. Rentetan insiden tersebut, kerajaan Pusat menekankan penentuan Ramadan dan Syawal mesti berpandu kepada rukyah dan kiraan ilmu falak, sebagaimana keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bertarikh 1-2 Oktober, 1970.

Ilmu falak ialah cabang ilmu kejuruteraan bukan sahaja terhad kepada melihat anak bulan Ramadan dan Syawal, bahkan bersifat universal termasuk ilmu astronomi. Ilmu astronomi ialah sains tradisi tentang pemerhatian mata kasar terhadap pergerakan jasad-jasad samawi di langit seperti pergerakan bulan, matahari dan planet-planet yang boleh dilihat.

Namun, pada abad ke-4 dan ke-5, Al-Kawarizmi, tokoh ilmu falak mengembangkannya kepada ilmu kejuruteraan matematik sebagaimana beberapa bukunya yang terkenal dalam bidang ilmu falak seperti Kitab Al-Ma’rifah (ilmu kaji bintang), Kitab at-Tarikh (falak), Kitab al-Rukhmat (falak) dan Kitab al-Ard (falak/geografi).

Kajian beliau banyak merujuk kepada al-Quran tentang ayat berkaitan astronomi membabitkan ibadah fardu seperti penentuan waktu solat fardu dalam Surah Al-Israa [17:78], penetapan ’hilal’ bagi ibadah puasa Ramadan Surah Al-Baqara [2:165], penggunaan kalendar Surah At-Taubah [9:36] dan penetapan arah kiblat Surah Al-Baqara [2:144].

Kategori kedua ialah ayat astronomi yang tidak bersifat hukum seperti dalam Surah Al-Hijr [15:16] dan Surah An-Nahl [16:12]. Sarjana orientalis terkemuka, David King, pengkaji manuskrip dan sejarah astronomi zaman ketamadunan Islam, mengasingkan ilmu falak Islam kepada dua disiplin iaitu Islamic Folk Astronomy dan Islamic Mathematical Astronomy.

Ini membuktikan para pengkaji mengiktiraf ilmu falak atau astronomi sebagai cabang disiplin ilmu sains tabii tentang alam cakerawala daripada keseluruhan aspek kejadian, kewujudan, sifat fizik dan metafizik, hubungan ciptaan dengan Penciptanya, aplikasi dalam ibadah khusus, pembentukan akhlak dan Keesaan Tuhan.

Dengan kata lain, asas kepada ilmu falak ini ialah ‘Tauhid’ kepada ALLAH Maha Esa serta menyerahkan segala teori tentang alam buana ini kepada-Nya.

Artikel Berkaitan:

Kejuruteraan

Jelas, kejadian bulan dan bintang mengandungi rahsia ilmu kejuruteraan yang sangat berharga kepada semua kehidupan di muka bumi ini. Bintang ialah objek astronomi spheroid of plasma bercahaya yang distabilkan oleh gravitinya sendiri.

Sinaran cahaya itu disebabkan penggabungan antara gas hidrogen thermonuclear dengan helium yang ada di dalamnya lalu melepaskan tenaga bercahaya merentasi objek astronomi itu ke luar angkasa raya.

Matahari mengandungi 75 peratus gas hidrogen dan 25 peratus helium ialah sejenis bintang yang terhampir dengan bumi, serta banyak lagi bintang yang mampu dilihat oleh mata kasar dari bumi pada waktu malam.

Ada lebih 300 sektilion bintang di cakerawala tidak dapat dilihat oleh mata kasar termasuk semua bintang di luar galaksi Bima Sakti.

Sebagai perbandingan, bilangan ini dianggarkan melebihi 30 kali ganda bilangan batu pasir pantai di seluruh bumi. Ahli astronomi menggabungkan kumpulan bintang-bintang mengikut jenis dan bentuk bagi mengesan pergerakan kedudukan planet serta matahari.

Pergerakan matahari berlatarbelakangkan bintang di ufuk telah digunakan untuk mencipta kalendar dan boleh digunakan mengawal selia kegiatan pertanian mengikut musim. Ini dibuktikan oleh pergerakan bumi mengelilingi matahari mempunyai musim yang berlainan setiap tahun. Kejadian bulan dan bintang disebut 74 kali dalam al-Quran. Dalam Surah Al-Fushshilat [41:12] ALLAH berfirman maksudnya:

“Maka Dia (ALLAH) menjadikannya tujuh langit dalam dua masa dan Dia mewahyukan pada tiap-tiap langit urusannya. Dan Kami hiasi langit yang dekat dengan bintang-bintang yang cemerlang dan Kami memeliharanya dengan sebaik-baiknya. Demikianlah ketentuan Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.”

Dan ALLAH meyakinkan seterusnya di dalam surah sama ayat [16:16] bermaksud, “dan (Dia ciptakan) tanda-tanda (penunjuk jalan). Dan dengan bintang-bintang itulah mereka mendapat petunjuk.”

Kecemerlangan ahli falak Malaysia disegani negara-negara Islam. Kesimpulannya, ada ilmu yang perlu kita pelajari daripada rahsia kejadian alam semesta.* Dr Ir Muhidin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor