KKM lulus 359 rayuan pertukaran penempatan pegawai perubatan - Dr Zaliha

Dr Zaliha - Foto Bernama
Dr Zaliha - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah meluluskan 359 rayuan permohonan penempatan pegawai perubatan di seluruh negara setakat ini, kata Menterinya Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata, jumlah permohonan selebihnya pula akan diperhalusi kemudian berdasarkan kepada merit rayuan dan kekosongan di kawasan penempatan yang dipohon.

"Kalau rayuan ada merit dan mungkin penempatan yang mereka minta itu ada kekosongan, kita akan cuba permudahkan permintaan tersebut.

"Namun pada masa ini kita kena berhenti sekejap untuk pastikan mereka melakukan tugas dulu kerana perkhidmatan sebagai doktor dan penjawat awam kena diteruskan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan National Regulatory Conference 2023 (NRC 2023) anjuran Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) di Damansara, hari ini.

Pada akhir Julai lepas, Dr Zaliha memaklumkan, KKM menerima 1,834 rayuan pertukaran penempatan pegawai perubatan dan antara alasan dikemukakan adalah pegawai sedang mengikuti pengajian kepakaran dan menghadapi masalah keluarga yang serius.

Terdahulu, dalam ucapannya Dr Zaliha berkata, NPRA bersedia ke arah rangka kerja kawal selia lebih tangkas yang boleh menyesuaikan diri dengan cepat, bukan sahaja kepada kemajuan saintifik dan teknologi baharu dalam farmaseutikal tetapi juga kepada sebarang ancaman kesihatan.

Beliau berkata, ia melibatkan laluan kelulusan yang fleksibel, semakan dipercepat untuk keperluan perubatan mendesak dan keterbukaan terhadap reka bentuk percubaan klinikal adaptif.

"Sebagai tindak balas kepada had sumber, NPRA juga berkembang daripada amalan konvensional dan rutin kepada pendekatan berasaskan risiko untuk kebenaran prapasaran dan aktiviti pengawasan pascapasaran.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, sudah tiba masanya untuk pembaharuan struktur atau organisasi dipertimbangkan bagi sistem penyampaian kawal selia lebih berkesan dan cekap yang akhirnya akan memberi manfaat kepada kesihatan awam serta menyokong pertumbuhan industri farmaseutikal diiktiraf di peringkat global untuk negara,” katanya.

Dr Zaliha berkata, pada 2019, jumlah pasaran industri farmaseutikal mengikut nilai dan volum dilaporkan masing-masing pada RM9.18 bilion dan 309 juta unit, dan dengan nilai besar ini jelas menunjukkan sektor itu memainkan peranan penting dalam kemajuan ekonomi negara.

Oleh itu, dalam memastikan industri farmaseutikal dapat terus memberi impak signifikan terhadap hasil kesihatan tempatan dan global, Dr Zaliha berkata, beliau yakin persidangan hari ini menawarkan peluang terbaik untuk pertukaran pengetahuan serta memulakan perbincangan mengenai pembaharuan kawal selia.

Persidangan yang bertemakan Regulatory Agility: Navigating Winds of Change itu dihadiri seramai 630 delegasi terdiri daripada pihak kerajaan, ahli akademik, persatuan dan sektor swasta. - Bernama