Enam restoran jadi pusat hiburan ditutup di Bangsar

Operasi khas itu dilaksanakan menerusi Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan serta Jabatan Penguatkuasaan DBKL.
Operasi khas itu dilaksanakan menerusi Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan serta Jabatan Penguatkuasaan DBKL.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak enam premis restoran dan kedai makan di Jalan Talawi 5, Bangsar, dikenakan tindakan sita dan ditutup serta-merta selepas didapati melanggar syarat lesen pada Sabtu malam.

DBKL dalam kenyataan berkata, operasi khas itu dilaksanakan Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan serta Jabatan Penguatkuasaan DBKL.

Menurutnya, risikan awal mendapati premis restoran dan kedai makan terbabit telah melanggar syarat lesen dengan membuat aktiviti hiburan tanpa lesen dan menimbulkan kacau ganggu awam.

"Tindakan sitaan penutupan premis serta-merta itu dikenakan di bawah Akta Hiburan (WPKL) 1992, Seksyen 17: Kuasa menutup premis," kata DBKL dalam kenyataan di laman Facebooknya.

Enam premis dikenakan tindakan sita dan ditutup serta merta selepas didapati melanggar syarat lesen
Enam premis dikenakan tindakan sita dan ditutup serta merta selepas didapati melanggar syarat lesen

Dalam pada itu, pihak berkuasa tempatan itu turut memaklumkan sebanyak 17 notis kompaun turut dikeluarkan dalam operasi berakhir jam 3 pagi pada Ahad itu.

"Antaranya enam notis kompaun dikeluarkan di bawah Akta Hiburan (WPKL) 1992, Seksyen 4 (1) (a): Mengadakan aktiviti hiburan tanpa lesen dan enam notis kompaun dikeluarkan di bawah Akta Hiburan (WPKL) 1992, Seksyen 4 (1) (b): Membuka premis aktiviti hiburan tanpa lesen daripada DBKL.

"Selain itu, satu notis kompaun dikeluarkan di bawah UUK Petempatan Makanan (WPKL) 2016: Perkara 22 (1) (b): Mengambil pekerja warga asing tanpa permit yang sah dan tiga notis kompaun di bawah Perkara 18(1) UUK Petempatan Makanan (WPKL) 2016 - Tiada aktiviti perniagaan lain boleh dilakukan selain yang dilesenkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan itu menambah, satu lagi kompaun dikeluarkan di bawah Perkara 20 (1) (e) UUK Pelesenan tred, perniagaan dan perindustrian (WPKL) 2016: Tiada pemegang lesen boleh menjalankan aktiviti lain di premis peniagaannya selain aktiviti perniagaan yang dinyatakan dalam lesen.

Dalam pada itu, DBKL turut menasihati pemilik-pemilik premis atau pemegang lesen supaya sentiasa mematuhi syarat-syarat lesen yang telah ditetapkan.

"Sekiranya berlaku pelanggaran syarat lesen, tindakan berlandaskan undang-undang sedia ada secara tegas dan konsisten akan diambil oleh DBKL," katanya lagi.