PRN: Polis buka 240 kertas siasatan, tahan 15 individu

Razarudin
Razarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka 240 kertas siasatan dengan 15 tangkapan berkaitan pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri bermula 27 Julai hingga 12 Ogos.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, jumlah itu melibatkan 1,951 laporan yang diterima pihaknya.

Menurutnya, 78 kertas siasatan dibuka di Selangor diikuti masing-masing 42 di Pulau Pinang dan Kedah, Terengganu (34), Negeri Sembilan (25) dan Kelantan (19).

"Dalam tempoh tersebut sebanyak 782 laporan diterima di Selangor, Terengganu (390), Kedah (293), Kelantan (265), Negeri Sembilan (135) dan Pulau Pinang (86).

“Seramai 15 individu telah ditahan iaitu sembilan di Kedah dan masing-masing dua di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, sebanyak 4,506 permit telah diluluskan PDRM dalam tempoh berkempen dengan Kedah mencatatkan angka tertinggi iaitu 976 permit diikuti Selangor (933), Kelantan (882), Terengganu (768), Negeri Sembilan (495) dan Pulau Pinang (452).

Mengulas mengenai kes yang dilaporkan di hari pengundian pada 12 Ogos, Razarudin berkata, sebanyak 111 kertas siasatan dibuka daripada 181 laporan yang diterima melibatkan pelbagai kesalahan.

Ujarnya, kesalahan membabitkan Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana menggunakan kad pengenalan orang lain merekodkan laporan tertinggi iaitu 94 kes.

Artikel Berkaitan:

“Selangor paling tinggi melibatkan salah guna kad pengenalan iaitu 48 kes diikuti Pulau Pinang (20), masing-masing sembilan di Kedah dan Terengganu, Negeri Sembilan (enam) dan Kelantan (dua),” katanya.

Antara kesalahan lain yang dilaporkan adalah khianat bendera, mempamer logo politik, menghalang penjawat awam dan perhimpunan menyalahi undang-undang.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!