Kerjasama dengan Pusat akan dijalin secara matang - Ahmad Samsuri

Ahmad Samsuri (kanan) bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang (kiri) semasa hadir pada pengumuman keputusan PRN di Dewan Tok Guru, Rusila malam Sabtu.
--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ahmad Samsuri (kanan) bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang (kiri) semasa hadir pada pengumuman keputusan PRN di Dewan Tok Guru, Rusila malam Sabtu. --fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA
A
A
A

MARANG - Walaupun Terengganu tiada wakil parti pembangkang yang sealiran dengan kerajaan Persekutuan, ia bukan halangan untuk mewujudkan jalinan kerjasama secara baik dan matang antara kerajaan negeri dan Pusat.

Menteri Besar sementara, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkara itu akan diperincikan dan ditambah baik bagi memastikan kelancaran dalam pentadbiran kerajaan baharu yang bakal dibentuk.

"Pada saya tiada masalah untuk (bekerjasama dengan Pusat) sebab kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan termaktub di bawah bidang kuasa masing-masing.

"Ada bidang kuasa kerajaan Pusat, ada bidang kuasa kerajaan negeri dan ada bidang kuasa bersama. (Sebab) orang yang merangka perlembagaan pada waktu itu telah melihat bahawa perlunya kerjasama antara kerajaan negeri dan Pusat.

"Kita di negeri tiada masalah, tinggal lagi bagaimana penerimaan kerajaan Pusat. Bagi kerajaan negeri kami dengan hati terbuka untuk berhubung dengan Kerajaan Persekutuan dalam apa jua isu, apa jua perkara sebagaimana termaktub dalam perlembagaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pengumuman keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu di Dewan Tok Guru, di Rusila, di sini, malam Sabtu.

Ujar Ahmad Samsuri, kerajaan Pusat juga perlu terbuka dan matang serta menerima pilihan rakyat yang diterjemahkan dalam PRN Terengganu pada Sabtu.

"Kita harap kerajaan Pusat turut berlapang dada dan menghormati pilihan dibuat oleh rakyat Terengganu agar jalinan kerjasama dapat dibentuk secara matang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Naib Presiden Pas itu berkata, parti itu terbuka untuk mempertimbangkan sekiranya Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menyatakan kesediaan untuk bekerjasama.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini belum ada sebarang perbincangan dilakukan oleh kedua-dua belah pihak.

"Kalau Muda mahu berbincang untuk bertemu atau apa jua keperluan kita boleh 'sit down' dan bincang.

"Pembentukan kerjasama dengan parti pemerintah kerajaan negeri ini perlu dimulakan dengan didahului dengan kerjasama antara parti sesama parti," katanya.

PRN Terengganu dan PRK Kuala Terengganu yang berlangsung pada Sabtu mencipta sejarah selepas semua calon PN memenangi kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi termasuk satu kerusi Parlimen.

ARTIKEL BERKAITAN:PRN: Pertama kali dalam sejarah, Terengganu tiada pembangkang

PN sapu bersih 32 kerusi DUN, satu Parlimen di Terengganu

PRN Terengganu: Ahmad Said, Ahmad Razif tumbang

PRN: Terengganu catat peratusan keluar mengundi tertinggi