Kecoh peti undi tidak diikat

Keadaan peti undi di saluran 15 tidak diikat (seal) di pusat pengundian di Sekolah Menengah Seri Relau Jalan Paya Terubong pada Sabtu.
Keadaan peti undi di saluran 15 tidak diikat (seal) di pusat pengundian di Sekolah Menengah Seri Relau Jalan Paya Terubong pada Sabtu.
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Seri Relau, Jalan Paya Terubong di sini, kecoh apabila didapati sebuah peti undi di saluran 15 tidak diikat dengan baik.

Perkara itu disedari calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Paya Terubong, Andrew Ooi Ghee Oon pada jam 11.30 pagi, Sabtu.

Menurut Andrew, selain pusat mengundi berkenaan, beliau turut mendakwa satu lagi peti undi di saluran 4 di Dewan Blok 4E di Farlim juga tidak diikat dengan sempurna.

Susulan itu, Andrew dari Parti Gerakan telah membuat dua laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) berhubung kejadian tersebut.

"Dalam kejadian pertama, ketika tinjauan dibuat, saya mendapati terdapat satu peti undi tidak diikat dengan baik menyebabkan saya membuat bantahan terhadap petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di situ.

"Susulan daripada itu, proses mengundi di saluran tersebut terhenti seketika untuk petugas mengikat peti undi berkenaan menggunakan kabel pengikat. Bukan sahaja tidak diikat, malah pelekat juga tidak dilekatkan di kotak berkenaan.

"Saya menyedari kejadian kedua berlaku pada jam 1.50 petang tadi lalu membuat bantahan yang sama kepada petugas SPR di saluran di pusat mengundi berkenaan," katanya ketika ditemui di pekarangan IPDTL di sini pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Andrew (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPDTL pada Sabtu.
Andrew (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPDTL pada Sabtu.

Beliau berkata, apa yang mengecewakan, alasan yang diberikan petugas SPR tidak boleh diterima setelah beliau membantah di kedua-dua pusat mengundi berkenaan.

"Apabila saya membuat bantahan, terus Ketua Tempat Mengundi (KTM) mengambil kabel pengikat dan pelekat lalu diletakkan di peti undi tersebut. Ini bermakna, kabel pengikat dan pelekat itu ada, tetapi tidak diletakkan.

"Ketika saya membuat bantahan di Farlim, petugas SPR memberi alasan bahawa mereka lupa untuk meletakkan kabel pengikat dan pelekat. Jika berlaku pada satu peti undi sahaja, itu boleh diterima, tetapi ini dua peti undi.

"Saya percaya, akan ada lagi peti undi yang tidak diikat dan dilekatkan pelekat dengan sempurna di pusat mengundi yang lain," katanya.

Justeru, beliau menuntut SPR melaksanakan pilihan raya semula di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Terubong kerana kejadian itu disifatkan tidak adil kepada calon yang bertanding di situ.

"Saya mempersoalkan kredibiliti SPR dalam menjalankan proses pilihan raya di DUN Paya Terubong dan seluruh Pulau Pinang.

"Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku, jika mahu bertanding, bertanding lah dengan cara yang betul," tambahnya.

Sementara itu, Pengarah SPR Pulau Pinang, Dr Siti Nazariah Abd Halim ketika dihubungi berkata, SPR akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi berhubung insiden berkenaan.

"Tunggu daripada SPR untuk keluarkan kenyataan, saya tengah uruskan hal ini," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: PRN: Calon PH didakwa langgar peraturan

Hasrat warga emas mengundi tak kesampaian

Kecoh peti undi tidak diikat

PRN Kedah: Terkejut tak dapat mengundi, nama telah digunakan