Polis Pulau Pinang terima 40 laporan sepanjang tempoh kempen PRN

Puspanathan (tengah) bersama pegawainya menunjukkan gambar kes merosakkan kain rentang dan bahan kempen yang diterima pihaknya.
Puspanathan (tengah) bersama pegawainya menunjukkan gambar kes merosakkan kain rentang dan bahan kempen yang diterima pihaknya.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis Pulau Pinang menerima 40 laporan berkaitan kesalahan ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) setakat Khamis.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti negeri, Senior Asistan Komisioner W Puspanathan berkata, daripada jumlah itu sebanyak 18 kertas siasatan telah dibuka termasuk sembilan kes membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu merosakkan bahan-bahan kempen seperti bendera dan kain rentang parti.

Menurutnya, lima kertas siasatan dibuka berkaitan Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (AKMM) 1998 berkaitan fitnah terhadap calon bertanding dalam media sosial.

"Terdapat satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 AKMM 1998 berkaitan isu 3R dan kes ini disiasat oleh Unit Siasatan Terkelas Bukit Aman

"Selain itu, satu kertas siasatan dibuka berkaitan kes curi bendera dan bahan kempen serta satu kertas enkuiri polis juga dibuka berkaitan aduan tidak berpuas hati berkenaan artikel di laman sosial," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen Pulau Pinang pada Jumaat.

Mengulas mengenai persediaan hari pembuangan undi, Puspanathan berkata, Polis Kontinjen Pulau Pinang menggerakkan seramai 5,776 pegawai dan anggota bagi penugasan yang meliputi kawalan keselamatan dan lalu lintas di 334 pusat mengundi di seluruh negeri ini.

Katanya, sejak hari penamaan calon lagi hingga tempoh hari terakhir kempen, pihaknya telah mengatur gerak semua pegawai dan anggota pada tahap terbaik serta sentiasa siap siaga dengan kekuatan yang mencukupi bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya tidak menerima maklumat berhubung perhimpunan secara besar-besaran yang didakwa dilakukan di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) oleh parti tertentu pada malam Sabtu.

Artikel Berkaitan: