924 kes perceraian di Melaka dalam tempoh enam bulan

Rahmad ketika berucap pada Seminar Pasangan Keluarga Bahagia Road to Jannah tahun 2023.
Rahmad ketika berucap pada Seminar Pasangan Keluarga Bahagia Road to Jannah tahun 2023.
A
A
A

MELAKA - Sebanyak 924 kes perceraian didaftarkan di Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rahmad Mariman berkata, daripada jumlah itu daerah Melaka Tengah mencatatkan kes tertinggi sebanyak 549, diikuti Alor Gajah (219 kes) dan Jasin (156 kes).

Menurutnya, dalam tempoh itu juga sebanyak 136 kes rujuk selepas perceraian manakala 2,784 pernikahan direkodkan di negeri ini.

"Ini (kes cerai) amat membimbangkan dan memerlukan peranan semua pihak bagi memastikan isu-isu perceraian yang melibatkan perkara-perkara remeh dapat ditangani segera.

"Kesedaran masyarakat perlu dilipat ganda bagi memastikan tidak berlaku penyesalan selain memberi impak kepada anak-anak yang ditinggalkan," katanya.

Sebahagian peserta Seminar Pasangan Keluarga Bahagia Road to Jannah tahun 2023 di sebuah hotel di Ayer Keroh di sini, pada Khamis.
Sebahagian peserta Seminar Pasangan Keluarga Bahagia Road to Jannah tahun 2023 di sebuah hotel di Ayer Keroh di sini, pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar Pasangan Keluarga Bahagia Road to Jannah tahun 2023 di sebuah hotel di Ayer Keroh di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan JAIM, Ikraam Rosli dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Undang-undang Keluarga Islam JAIM, Muhamad Sayuti Omar.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, penganjuran program berkenaan dapat memantapkan institusi kekeluargaan khususnya di negeri Melaka.

Menurutnya, kejayaan seseorang bermula daripada institusi kekeluargaan yang akan membentuk komuniti masyarakat cemerlang seterusnya membina sebuah negara yang maju dan berjaya.

"Manakala kejayaan seorang suami disokong oleh isteri yang memahami.

"Begitu juga dengan kehebatan seorang isteri didukung oleh suami yang penyayang serta memiliki nilai tanggungjawab yang tinggi," katanya.

Seminar anjuran JAIM dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dijayakan lebih170 orang peserta membabitkan 85 orang pasangan suami isteri yang dimeriahkan dengan kehadiran pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias, Haslin Baharim, Wan Akashah Wan Abd Hamid dan Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood.