117 mangsa banjir di dua PPS

Dewan Kampung Tok Sani dibuka sebagai pusat pemindahan sementara bagi menempatkan 34 orang mangsa banjir malam tadi.
Dewan Kampung Tok Sani dibuka sebagai pusat pemindahan sementara bagi menempatkan 34 orang mangsa banjir malam tadi.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seramai 117 mangsa banjir terdiri daripada 23 keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di sini selepas rumah mereka dinaiki air akibat hujan lebat sepanjang malam tadi.

Difahamkan, mereka yang dibantu pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan polis untuk keluar daripada rumah mereka ke PPS berkenaan.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya berkata, sehingga jam 1 tengah hari tadi, seramai 83 penduduk daripada 15 keluarga di tempatkan di Dewan Muhibbah, Merbau Kudung di Sungai Dua di sini selepas beberapa kampung di kawasan itu dinaiki air sejak jam 2 pagi.

"Sementara itu, satu lagi pusat pemindahan iaitu di Dewan Kampung Tok Sani di sini menempatkan 34 orang penduduk dari lapan keluarga yang terlibat banjir.

"Kedua-dua pusat pemindahan tersebut dibuka awal pagi hari ini selepas air banjir belum lagi surut," katanya ketika ditemui di Dewan Muhibbah, Merbau Kudung di sini hari ini.

Menurutnya, bantuan kepada mangsa diselaraskan Pejabat Daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dari segi bekalan makanan dan logistik.

"APM dan pihak polis memantau keadaan keselamatan mangsa banjir. Petugas di Jabatan Kesihatan negeri dan Pejabat Ahli Parlimen pula bantu dari segi kebajikan mangsa banjir," katanya.

Shabudin berkata, makanan untuk berbuka puasa dan sahur kepada mangsa yang berada di pusat pemindahan juga akan diagihkan menerusi kerjasama Pejabat Ahli Parlimen dan JKM.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang Phee Boon Poh berkata, sehingga jam 7 pagi semalam, terdapat lapan lokasi di kawasan sekitar turut dinaiki air namun tidak serius.

"Antara kawasan terlibat adalah Kampung Sungai Lokan, Taman Cantik, Kampung Setol, Sungai Chegar, Kampung Lahar Ikan Mati, kawasan perindustrian dan Flat Mak Mandin.

"Laporan dari Pejabat Jabatan Pengairan dan Saliran SPU, taburan hujan dicatatkan 121 milimeter sepanjang malam tadi," katanya.

Boon Poh berkata, sebuah rumah teres satu tingkat ditimpa sepohon pokok di bahagian belakang di Pajak Song di sini.

"Tiada kemalangan jiwa dan tiada kecederaan dilaporkan setakat ini. Selain rumah tersebut, ada dua lagi kejadian pokok tumbang iaitu di Jalan Biggs dan Jalan Mano. Kedua-dua kejadian itu tidak melibatkan rumah atau mangsa," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 51 mangsa banjir dibawa ke pusat pemindahan