PRN: Terbukti PH percaya pada BN - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid (tengah) bersama calon-calon DUN di Pasir Puteh melambai ke arah penyokong BN-PH.
Ahmad Zahid (tengah) bersama calon-calon DUN di Pasir Puteh melambai ke arah penyokong BN-PH.
A
A
A

PASIR PUTEH - Barisan Nasional (BN) mendapat kepercayaan yang sangat tinggi daripada Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu dapat dilihat berdasarkan agihan 108 kerusi kepada BN untuk ditandingi walaupun partinya hanya menyandang 38 kerusi sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

Menurut beliau, keseluruhan kerusi DUN yang akan ditandingi oleh Kerajaan Perpaduan termasuk BN dan PH pada PRN itu ialah sebanyak 245 kerusi.

“UMNO bertanding 108 kerusi dan selebihnya PH. Hal ini kerana rakan-rakan dari Parti Keadilan Rakyat, Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP memberikan peluang kepada UMNO serta BN untuk bertanding atas dasar semangat.

“Banyak kerusi yang disandang oleh mereka diserahkan kepada UMNO dan BN sekali gus membuktikan kepercayaan mereka kepada kita,” katanya ketika berucap pada Himpunan Jentera dan Penyokong BN-PH Pasir Puteh di Kampung Pulau Lima, di sini, pada Rabu.

Turut hadir, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Ahmad Zahid berkata, PH yang dahulunya dianggap lawan kini menjadi kawan, begitu juga sebaliknya.

Beliau berkata, akan terus menyokong kerjasama itu sekali gus mengukuhkan kedudukan Kerajaan Perpaduan.

Artikel Berkaitan:

“Sembilan bulan dulu kita alergik apabila tengok warna merah tetapi itu dulu, lawan tetap lawan. Sekarang lawan jadi kawan, buat apa kita berlawan, kita perkukuhkan Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Zahid mendakwa Pas tidak memperjuangkan apa-apa sepanjang berada dalam Kerajaan Pusat berbanding Kerajaan Perpaduan yang melaksanakan tugas dengan baik walaupun baru lapan bulan mentadbir.

Katanya, Pas tidak pernah memperjuangkan bagi mendapat peruntukan lebih banyak untuk pembangunan Islam.

“Mereka juga tidak memperjuangkan nasib guru agama, imam masjid dan elaun guru takmir bahkan tidak memperjuangkan Rang Undang-Undang (RUU) 355 di dalam Parlimen.

“Pas sememangnya tiada sebarang perancangan dan hanya tahu bercakap retorik sahaja dalam bab agama,” ujar beliau.