Kesedaran mengundi masyarakat Orang Asli meningkat

Masyarakt Orang Asli suku Kensiu sudah sedar tanggungjawab mengundi dan parti politik apa yang akan mereka pilih untuk mentadbir negara serta negeri. - Foto: Bernama
Masyarakt Orang Asli suku Kensiu sudah sedar tanggungjawab mengundi dan parti politik apa yang akan mereka pilih untuk mentadbir negara serta negeri. - Foto: Bernama
A
A
A

BALING - Kesedaran mengenai kepentingan mengundi dalam kalangan Orang Asli daripada suku Kensiu di Kampung Lubuk Legong, di sini semakin meningkat dengan kebanyakan daripada mereka berharap dapat memilih wakil rakyat yang mampu menyelesaikan isu masyarakat itu.

Tok Batin Razali Kulim berkata, anak-anak buahnya faham tentang kepentingan mengundi dan teruja untuk menunaikan tanggungjawab itu pada Sabtu ini.

"Kebanyakan Orang Asli sudah sedar tanggungjawab untuk mengundi dan parti politik apa yang akan mereka pilih untuk mentadbir negara serta negeri supaya kemakmuran dapat dipertahankan.

"Kami juga faham (pilihan raya) untuk cari pemimpin yang dapat selesaikan masalah rakyat di peringkat kampung terutama berkaitan sosial, pendidikan, ekonomi dan kemudahan asas lain,” katanya pada Rabu.

Menurutnya, setakat ini anak-anak buahnya yang tinggal di luar juga sudah memaklumkan bahawa mereka akan pulang ke kampung sehari sebelum hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini bagi menunaikan tanggunjawab mereka.

Kampung Lubuk Legong merupakan satu-satunya perkampungan Orang Asli di Kedah yang terdiri daripada 359 Orang Asli suku Kensiu daripada 88 keluarga dengan jumlah pengundi 202 orang.

Razali berkata, terdapat dua masalah utama yang membelenggu Orang Asli suku Kensiu ketika ini iaitu ekonomi dan pendidikan.

"Masyarakat Orang Asli sudah mula faham bahawa dua perkara ini penting untuk membawa sesuatu kaum itu ke hadapan. Jadi, saya berharap kerajaan negeri yang akan mentadbir dapat melihat dua perkara ini untuk masyarakat Orang Asli,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, adik Razali, Ubal, 36, berharap pemimpin yang diangkat pada PRN nanti dapat menitikberatkan soal kebajikan dan keselamatan semua kaum di negeri Kedah.

"Semoga menerusi PRN ini kita dapat seorang pemimpin yang boleh menjaga hak semua kaum di Malaysia,” katanya.

Wati Tero, 40, pula berharap agar PRN nanti dapat menghasilkan satu kerajaan negeri yang terdiri daripada pemimpin yang jujur, amanah dan ikhlas membela nasib setiap kaum dan bangsa.

"Kalau boleh kerajaan yang mentadbir itu jujur, amanah dan ikhlas membela tak kira Orang Asli, Melayu, India atau Cina,” katanya. - Bernama