Serangan terhadap al-Quran, Malaysia harap Denmark bertindak

Mohd Na'im berucap pada prapelancaran Tilawah dan Menghafaz Al-Quran peringkat antarabangsa ke-63 1445H/2023M di WTCKL hari ini. - Foto Bernama
Mohd Na'im berucap pada prapelancaran Tilawah dan Menghafaz Al-Quran peringkat antarabangsa ke-63 1445H/2023M di WTCKL hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia berharap Denmark dapat mengambil tindakan terhadap kumpulan anti-Islam dan ultranasionalis Denmark yang meningkatkan serangannya terhadap al-Quran pada Isnin, meskipun mendapat kecaman meluas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang mengulangi pendirian kerajaan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan sedemikian berkata, Malaysia akan meneruskan usaha menerangkan kesucian agama Islam kepada dunia.

"Ada antara mereka menggunakan alasan hak kebebasan bersuara, tetapi dalam kebebasan itu perlu ada hadnya. Kita mengharapkan ada tindakan sewajarnya diambil kepada pihak yang melakukan perkara terkutuk ini,” katanya kepada pemberita selepas pra pelancaran Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-63 di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan media berhubung tindakan anggota Danske Patrioter (Patriot Denmark) membakar salinan kitab suci umat Islam di hadapan kedutaan Turkiye, Algeria, Pakistan, Iran dan Indonesia di Copenhagen.

Mohd Na’im berkata, pihaknya bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim) telah mengambil langkah membalas tindakan terkutuk itu melalui penerbitan sejuta naskhah al-Quran untuk diagihkan kepada masyarakat di seluruh dunia termasuk dalam bahasa Sweden dan Denmark.

Menurutnya 2,000 naskah al-Quran telah diserahkan kepada kerajaan Kemboja ketika lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu pada Mac lepas.

"Pada masa sama RM1.8 juta berjaya dikumpul dari sumbangan orang ramai untuk menerbitkan al-Quran dalam pelbagai bahasa dan akan diagihkan ke seluruh dunia,” katanya.

Mengulas mengenai MTHQA ke-63, Mohd Na’im berkata, 76 peserta dari 52 negara akan menyertai pertandingan itu yang akan diadakan selama enam hari bermula 19 Ogos ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, 36 peserta terdiri daripada 24 lelaki dan 12 perempuan dari 27 buah negara menyertai tilawah manakala peserta hafazan seramai 40 orang (27 lelaki dan 13 perempuan) dari 30 buah negara.

"Malaysia menghantar empat peserta iaitu Muhammad Qayyim Nizar Sarimi yang merupakan Qari Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan dari Kelantan dan Nor Hidayah Abd Rahman (Terengganu) sementara hafazan pula diwakili Ahmad Ikmal Mohd Ridhuan (Johor) dan Dian Karisma Mohd Japar (Sabah),” katanya. - Bernama