Inspektor terlepas tuduhan terima suapan

Kalvinder Singh(kiri) bersama peguamnya di Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh, di sini, pada Selasa.
Kalvinder Singh(kiri) bersama peguamnya di Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh, di sini, pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Mahkamah sesyen di sini, pada Selasa melepas dan membebaskan seorang pegawai polis berpangkat inspektor daripada tuduhan menerima suapan bernilai RM6,200, empat tahun lalu.

Hakim Elesabet Paya Wan membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Kalvinder Singh, 36, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh pada peringkat akhir kesnya.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, dia sebagai Inspektor yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin didakwa menerima suapan berbentuk wang tunai dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM6,200 tanpa balasan daripada Mohd. Hadaffy Mokhtar Ruzaini dengan mengetahui dia mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi tertuduh.

Perbuatan didakwa dilakukan tertuduh di tempat kerjanya antara jam 11.30 malam 8 Mac sehingga 2 pagi di 9 Mac 2019.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dipercayai tertuduh menerima suapan tersebut bagi menutup kes membabitkan daun ketum dan rokok seludup.

Kalvinder Singh diwakili peguam Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irwan Shah Abdul Samat.

Seramai 21 saksi pendakwaan telah dipanggil sepanjang perbicaraan berlangsung bermula pada 12 April tahun lalu.

Artikel Berkaitan: