Nak uji kelajuan sanggup buang brek, guna tayar ‘sotong’

SEREMBAN - Sanggup menunggang motosikal tanpa brek dan menggunakan tayar ‘sotong’ bagi menguji kelajuan antara tindakan ekstrem segelintir 'geng rempit' yang dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ) baru-baru ini.
Dalam Ops Khas Sesyen 42A yang dilaksanakan di Jalan Persiaran Senawang bermula jam 12.30 tengah malam pada Ahad lalu itu, sebanyak 120 motosikal telah diperiksa dan 13 daripadanya telah dikenakan tindakan.
Menurut Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Jasyindar Singh Sihdu, dalam tempoh empat jam operasi dilakukan, sebanyak 271 notis dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 77 kesalahan dilakukan antaranya (10) kes tayar tidak mengikut piawaian dan (8) kes masing-masing ubah suai kenderaan dan ubah suai ekzos dan tidak menyelenggara brek.
"Statistik turut merekodkan enam kesalahan kategori ekstrem, tiga kes di bawah Seksyen 42A(1) kerana berlumba dan empat kes di bawah Seksyen 42A(2) kerana disyaki 'menduga' kelajuan,"katanya dalam sidang media di JPJ di sini pada Selasa.
Menurutnya, sebanyak 13 penunggang motosikal yang didapati melakukan kesalahan berusia antara 16 hingga 24 tahun.
Mengulas berkenaan tindakan segelintir penunggang motosikal yang membuang sistem brek, beliau berkata, ia bukan sahaja boleh mengancam nyawa penunggang sendiri, malah turut membahayakan pengguna jalan raya lain.

Tambahnya, ia lebih berbahaya apabila penunggang melakukan aksi ekstrem yang berdepan risiko kehilangan kawalan motosikal, terutama ketika perlu membrek atau mengelak halangan.
"Mereka ini berani menanggung risiko apabila sanggup membuang sistem brek kenderaan hanya semata-mata mahu menguji kelajuan dan keberanian.
"Tujuannya supaya motorsikal itu lebih ringan termasuklah menggunakan tayar 'sotong' atau yang lebih kecil,"katanya.
Selain itu Jasyindar berkata, antara lokasi panas yang dikenal pasti menjadi tumpuan kegiatan berlumba haram ialah Jalan Persiaran Senawang, Dataran Centrio, Seremban 2, Dataran Nilai dan Lebuhraya LEKAS.
.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

