Timbalan Pengarah direman dipercayai terima suapan RM3,000

Seorang timbalan pengarah di sebuah jabatan di Kuching, Sarawak (berbaju lokap SPRM) direman sehingga 17 Mei ini kerana dipercayai menerima suapan RM3,000 pada 2022.
Seorang timbalan pengarah di sebuah jabatan di Kuching, Sarawak (berbaju lokap SPRM) direman sehingga 17 Mei ini kerana dipercayai menerima suapan RM3,000 pada 2022.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang timbalan pengarah sebuah jabatan kerajaan kerana disyaki menerima wang suapan kira-kira RM3,000.

Menurut sumber, suapan tersebut diterima daripada sebuah syarikat sebagai balasan membantu syarikat berkenaan mendapatkan kerja-kerja pembekalan di sebuah bangunan di daerah Sarawak.

Sumber berkata, suspek lelaki yang berusia 40-an itu ditahan kira-kira jam 7 malam pada Jumaat di Pejabat SPRM Kuching selepas hadir memberi keterangan.

Jelasnya, suspek yang juga penjawat awam dipercayai melakukan perbuatan terbabit pada 2022.

"Perintah reman selama empat hari hingga 17 Mei ini dikeluarkan oleh Majistret Zaiton Anuar di Mahkamah Majistret Kuching, selepas pihak SPRM membuat permohonan tersebut pagi tadi," katanya pada Sabtu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sarawak, Mohd Zaki Hassan ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbabit dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.